SAYA sebak. Tiga hari lepas, genap lima tahun Tan Sri Khalid Ibrahim dijatuhkan dari jawatan Menteri Besar Selangor pada 2014.

Takdir Allah, jatuhnya Tan Sri Khalid Ibrahim akibat fitnah dan pengkhianatan politik PKR, rizab Selangor hari ini juga jatuh merudum dari sekitar RM3.3 bilion ketika era Tan Sri Khalid kepada hanya RM2.3 bilion.

Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Menyaksikan. Tan Sri Khalid Ibrahim ketika menjadi Menteri Besar Selangor dahulu telah menaikkan rizab Selangor dari hanya RM400 juta pada 2008 melonjak menjadi RM3.3 bilion pada 2014.

Malangnya, selepas Tan Sri Khalid disingkirkan, fakta membuktikan bahawa hari ini hampir satu bilion ringgit rizab Selangor negeri terkaya di Malaysia telah lesap.

Maknanya, Tan Sri Khalid dahulu menambah rizab negeri Selangor sebanyak RM550 juta secara purata setiap tahun bersamaan RM1.5 juta setiap hari dari 2008 ke 2014.

Tetapi, selepas beliau dikhianati dan disingkir, setiap tahun dari 2014 hingga 2019 sebanyak RM200 juta rizab negeri Selangor jatuh secara purata, bersamaan dengan lebih setengah juta lesap setiap hari – lebih tepat lagi, RM547,945.21 sehari.

Sejarah tidak dapat didustai betapa ketika Tan Sri Khalid Ibrahim diasak fitnah dahsyat untuk menyingkir beliau, hanya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melalui Presidennya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang tampil menyokong Tan Sri Khalid demi kestabilan politik negeri Selangor dan juga kerana tiada sebarang salah laku yang mewajarkan Tan Sri Khalid dijatuhkan daripada posisi sebagai Menteri Besar.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa: “Kalau beliau (Abdul Khalid) terlibat dengan skandal, pecah amanah, salah guna duit Selangor, itu ya (sememangnya) kita boleh tukar. Tapi kalau alasan-alasan yang lain, itu kita boleh urus tetapi bukanlah dengan cara tukar menteri besar dan biarlah dia habiskan tempoh penggal. Isunya adalah tunaikan amanah pemimpin. Kita dapati Tan Sri Khalid tidak sampai kepada peringkat khianat terhadap amanah ini, adalah salah sekiranya kita turunkan beliau.”

Hari ini ternyata segala amaran Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tentang akibat menjatuhkan Tan Sri Khalid yang bersih dari segala anasir rasuah benar-benar terjadi.

Ada yang menuduh kononnya pencapaian Tan Sri Khalid melonjakkan rizab Selangor adalah kerana wang kerajaan tidak dibelanjakan.

Sebaliknya, perbelanjaan kerajaan ketika itu meningkat dari RM1.1 bilion pada 2008 ke RM1.6 bilion pada tahun 2013 sahaja.

Cara Tan Sri Khalid mentadbir bukanlah dengan tidak berbelanja, sebaliknya dengan menghapuskan rasuah, meningkatkan kecekapan, serta merangsang pertumbuhan ekonomi dan pelaburan.

Tan Sri Khalid Ibrahim bukan calang-calang. Anak Kampung Jalan Raja Abdullah, Kuala Selangor ini memiliki reputasi korporat yang cukup disegani.

Beliau bukan menyertai politik untuk menjadi kaya. Lihat sahaja senarai panjang pengalaman beliau ini: Ketua Pegawai Eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (PNB) (1979-1994), Ketua Pegawai Eksekutif di Kumpulan Guthrie Berhad (1995-2003), Penasihat Bank Pembangunan Islam (IDB) Jeddah, Pengerusi Dana Amanah Millenia Berhad, Ahli Lembaga Pengarah Sirim Berhad, Ahli Lembaga Institut Penyelidikan Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Majlis Produktiviti Kebangsaan, dan juga Ahli Kehormat Majlis Penasihat Perniagaan Persidangan Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Akibat susulan penyingkiran Tan Sri Khalid Ibrahim ke atas rakyat Selangor mula tidak dapat dielakkan.

Kini beberapa program kebajikan di bawah Skim Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor yang dimulakan oleh Tan Sri Khalid dahulu seperti Skim Mesra Usia Emas, Tabung Kewangan Anak Selangor (Tawas) dan Hadiah Perkahwinan untuk Belia terpaksa ditamatkan oleh kerajaan negeri hari ini.

Malah bukan sahaja pemberian air percuma 20 meter padu kepada setiap isirumah – yang dimulakan oleh Tan Sri Khalid – dibatalkan, tarif air pula akan dinaikkan.

Kenapa tragedi sebegini berlaku? Tidak lain tidak bukan kerana sikap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu dikatakan tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri dengan cara merampas jawatan Menteri Besar Selangor – disokong pula Pengarah Strategi PKR ketika itu Rafizi Ramli yang galak menyusun ‘Langkah Kajang’ kononnya sebagai ‘game-changer’ dan ‘loncatan terbaik melangkah ke Putrajaya’.

Dalam keadaan tiada angin, tiada ribut, dan rizab kerajaan negeri Selangor berada di kemuncak di bawah teraju Tan Sri Khalid Ibrahim, tiba-tiba kerusi DUN Kajang dikosongkan PKR untuk diadakan pilihan raya kecil – bagi tujuan membawa masuk Anwar Ibrahim ke dalam DUN Selangor untuk merampas jawatan Menteri Besar Selangor dari Tan Sri Khalid Ibrahim.

Inilah yang dinamakan ‘Langkah Kajang’.

Rafizi Ramli mereka cerita kononnya ‘Langkah Kajang’ adalah bagi menghadapi ‘kemungkinan Dato’ Seri Najib dipecat dan kepimpinan Umno jatuh ke tangan puak ultra yang berkiblatkan Tun Mahathir Mohamad’ yang akan melakukan ‘Permainan jahat melalui serangan bertalu-talu yang berkisar kepada isu agama dan perkauman untuk mengambil alih Selangor’.

Sebaliknya kemudian Rafizi dan Anwar Ibrahim sendirilah yang bekerjasama dengan Tun Mahathir yang digelar ‘puak ultra’ itu.

Lebih dahsyat ialah fitnah setebal 91 muka surat Setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution ketika itu kononnya salah laku Tan Sri Khalid Ibrahim seperti isu hutang Bank Islam, penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor kepada Eco World dan projek pembinaan rumah mampu milik di Sungai Sering, Ukay Perdana.

Allah Maha Adil. Allah Maha Membalas. Selepas disaman dan diheret ke Mahkamah Tinggi oleh Tan Sri Khalid, Datuk Saifuddin selaku Setiausaha agung PKR akhirnya memohon maaf kepada Tan Sri Khalid tanpa syarat terhadap tujuh kenyataan fitnah yang menjadi subjek saman termasuklah isu Bank Islam, isu Eco-World, Kidex dan isu penstrukturan semula air Selangor itu pada Ogos 2015.

Namun begitu, Tan Sri Khalid Ibrahim enggan memberi laluan kepada objektif utama Langkah Kajang – untuk mengangkat Anwar Ibrahim (dan seterusnya isteri beliau Dr. Wan Azizah) menjadi Menteri Besar Selangor – dan seterusnya telah dipecat daripada PKR.

Akhirnya pada 2018 Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan sebab beliau dipecat daripada jawatan Menteri Besar Selangor dan PKR pada 2014 kerana keengganannya menggunakan wang kerajaan negeri Selangor untuk kepentingan parti.

Tan Sri Khalid memaklumkan bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu beliau menggunakan wang kerajaan negeri untuk mengadakan program dan kempen PKR:

“Saya dipecat daripada PKR kerana Anwar mahu pakai duit kerajaan negeri untuk menjalankan program parti. Saya tidak benarkannya kerana alasan yang mudah, kerana wang kerajaan negeri adalah duit rakyat. Tetapi mereka marah dan mempersoalkan bagaimana PKR akan menang (dalam Pilihan Raya Kecil Kajang) tanpa menggunakan wang dari rizab kerajaan negeri.

“Apabila saya enggan berbuat demikian, saya dipecat daripada parti. Tetapi saya lega kerana saya tidak lagi perlu memikul kepercayaan rakyat dan juga tidak mengkhianati kepercayaan mereka kepada saya sepanjang menjadi Menteri Besar. Hari ini, saya masih turun padang dan bertemu rakyat Selangor. Saya tidak ambil duit mereka dan mereka tidak ambil duit saya. Jadi kita berhubung baik”.

Malang bagi Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli ketika itu Langkah Kajang gagal kerana bukan sahaja Anwar didapati bersalah oleh mahkamah kerana meliwat, sebaliknya isteri beliau Datin Seri Wan Azizah pula dipintas oleh Datuk Seri Azmin Ali untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor dari Tan Sri Khalid Ibrahim.

Takdir Allah pasti ada hikmahnya. Akibat lobi Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli ke atas ADUN PKR & DAP Selangor, Tan Sri Khalid mengambil keputusan meletak jawatan Menteri Besar pada 26 Ogos 2014.

Langkah Kajang bertambah hangat apabila Anwar Ibrahim (bersama-sama DAP dan dua ADUN PAS yang kini menyertai Parti Amanah) enggan untuk menurut perintah Sultan Selangor agar mengemukakan lebih daripada satu nama sebagai calon Menteri Besar.

Istana Selangor melalui Setiausaha Sulit kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah, Datuk Mohamad Munir Bani menegur Anwar Ibrahim “Dia (Anwar) dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat atau menjejaskan imej Baginda”.

Penyingkiran Tan Sri Khalid Ibrahim daripada posisi Menteri Besar Selangor telah membawa kepada beberapa perkembangan yang kurang enak; bukan sahaja rizab Selangor telah jatuh, tetapi isu air dan tanah terus membelenggu rakyat.

Dalam kes tragedi air Selangor sebagai contoh, ia berlaku tidak lain tidak bukan kerana akibat langsung dari tindakan kerajaan negeri selepas Tan Sri Khalid yang tunduk kepada pemegang konsesi SPLASH dengan membayar RM2.7 billion – SEPULUH kali ganda lebih banyak dari nilai yang sepatutnya.

Sebaliknya, Tan Sri Khalid Ibrahim dahulu hanya menawarkan untuk membeli ekuiti SPLASH dengan harga RM250 juta sahaja.

Allah Maha Mengetahui. Di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid, Selangor telah berjaya mengambilalih tiga syarikat konsesi iaitu Syabas, Abbas dan Punchak Niaga. Hanya SPLASH sahaja yang tidak sempat diambialih kerana ia menuntut tawaran pampasan yang lebih tinggi dari tawaran Tan Sri Khalid pada 2014.

Tidak cukup dengan penyelewengan ini, ada pihak cuba memfitnah kononnya Tan Sri Khalid pada tahun 2009 ada membuat tawaran sebanyak RM2.92 billion kepada SPLASH bagi nilai ekuiti syarikat tersebut: hakikatnya, tawaran RM2.92 billion yang Tan Sri Khalid tawarkan kepada SPLASH pada 2009 itu adalah jumlah KESELURUHAN pengambilan syarikat bukan setakat ekuiti sahaja.

Begitu juga dengan isu penyerahan semula tanah di Ijok kepada LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd oleh kerajaan Selangor di bawah Datuk Seri Azmin Ali di mana menurut Tan Sri Khalid, tindakan kerajaan negeri menyerahkan kembali tanah di Ijok yang dirampas pada 2009 itu mengundang persepsi mencemarkan reputasi mereka.

Tindakan kerajaan Selangor di bawah Datuk Seri Azmin Ali ini mengundang persoalan kerana DUA keputusan mahkamah sebelum itu – iaitu di Mahkamah Tinggi (2013) dan Mahkamah Rayuan (2014) – sebelum itu memihak kepada kerajaan negeri Selangor di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim.

Persoalan seterusnya timbul apabila syarikat berkenaan menjual tanah-tanah tersebut dengan harga RM1.18 bilion.

Secara tidak langsung, kesemua peristiwa yang membabitkan Tan Sri Khalid ini juga berkait secara langsung dengan perkembangan hubungan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Anwar Ibrahim.

Malangnya, meski pun segala fitnah terhadap beliau telah dibersihkan, namun tragedi fitnah dan tikam belakang politik PKR di Selangor menyaksikan Tan Sri Khalid Ibrahim tidak lagi menerajui kerajaan negeri Selangor – malah prestasi Selangor merosot seiring dengan penyingkiran Tan Sri Khalid seperti mana jatuhnya rizab Selangor dari RM3.3 bilion (2014) kepada RM2.3 bilion (2019).

Selepas tamatnya riwayat Pakatan Rakyat dan Tahaluf Siyasi PAS-PKR pasca Langkah Kajang, Tuan Guru Presiden PAS berusaha untuk mengetengahkan idea ‘kerajaan teknokrat’ yang secara tidak langsung mengingatkan rakyat kepada model pemerintahan Tan Sri Khalid di Selangor (2008-2014).

PAS juga merumuskan ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera’ sebagai iktibar fitnah politik yang menjatuhkan Tan Sri Khalid.

Semoga Allah mengembalikan Tan Sri Khalid Ibrahim ke posisi yang selayaknya demi kemajuan negara.

Semoga Allah panjangkan usia Tuan Guru Abdul Hadi Awang demi kestabilan politik negara dengan panduan Islam. – 29 Ogos 2019.

ABDUL MUEIN ABADI,
Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.