Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ANGIN kencang yang bertiup kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyertai Kabinet akhirnya terhalang tembok pemisah.

Tiupan angin itu dimulakan sejak spekulasi kuat mengatakan Tun Mahathir Mohamad akan merombak Kabinet dalam masa terdekat.

Ini membuatkan penyokong pro-Anwar teruja untuk melihat Presiden PKR itu kembali memegang portfolio dalam kerajaan sebagai melicinkan perjalanannya menjadi Perdana Menteri kelapan.

Namun Tun Mahathir menjawab segala persoalan itu apabila menyatakan tiada kekosongan dalam Kabinet untuk Anwar.

Malah Perdana Menteri juga menegaskan tiada perubahan atau pertambahan anggota dalam Kabinet.

Lebih sedih buat Anwar, Tun Mahathir mengesahkan tiada ahli Kabinet yang sudi melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepadanya menjadi sebahagian jemaah menteri.

Jawapan Tun Mahathir itu mungkin menghampakan penyokong Anwar yang sudah tidak sabar mahu melihat Ahli Parlimen Port Dickson itu menjadi Perdana Menteri.

Baru-baru ini timbul ura-ura kerajaan akan membuat rombakan Kabinet apabila Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dikhabarkan bakal dilantik sebagai menteri.

Khamis lalu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa tidak ada rombakan Kabinet dalam masa terdekat ini seperti yang spekulasi yang dibuat oleh beberapa pihak, khususnya, media tempatan. – 29 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.