SEJAK 9 Mei 2018, isu politik tidak tak putus-putus menitip di bibir rakyat.

Mana tidaknya, banyak isu kontroversi timbul sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah tapi kesengsaraan ekonomi yang dihadapi rakyat marhaen seolah-olah tidak terbela.

Sebab itu Datuk Seri Mustapa Mohamed akhirnya membuka mulut tentang isu ekonomi dan politik semasa negara.

Bekas ahli UMNO yang kini bersama BERSATU itu mahu kerajaan hari ini menumpukan perhatian terhadap isu ekonomi di saat ketidaktentuan ekonomi dunia.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Belanjawan, Mustapa mahu kerajaan kurangkan hal-hal untuk kepentingan politik.

Pendapatnya itu disuarkan ketika hadir ke Forum Ekonomi Kebangsaan 2019 hari ini dan Mustapa sendiri bertanya kepada hadirin sama ada terlalu banyak kegiatan untuk kepentingan politik di negara ini?

Hampir kesemua 600 peserta bersetuju dengan soalannya itu dan pastinya jika ditanya pada seluruh rakyat Malaysia, mereka juga menyatakan pendapat sama.

“Kami mahu kerajaan memberi keutamaan tertinggi kepada hal-hal ekonomi.

“Kita semua perlu bekerjasama. Saya rasa kita perlu ketepikan perbezaan kita. Mari bersama-sama membina Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Mustapa bukan pemimpin PH pertama bersuara tentang perkara itu.

Pengerusi Majlis Kepimpinan PH Selangor, Amirudin Shari juga pernah meminta kerajaan supaya kurangkan berpolitik jika tidak mahu hilang keyakinan dan kepercayaan daripada rakyat.

Menteri Besar Selangor itu mahu PH bekerja keras dalam memenuhi kehendak rakyat agar mandat yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu dapat dikekalkan pada PRU akan datang. – 29 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.