MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin meminta sesetengah pihak memahami konteks “paria” yang disebut Perdana Menteri dalam isu Lynas.

“Jadi ini soal maksud konteks apa yang disebut dan bukan apa yang anda percaya kerana bila sebut paria jangan kita ingat paria itu merujuk kepada kaum India, ini tidak betul,” kata Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu.

“Jangan bertindak melampau, saya rasa kita perlu rasional, dan kerana perkara tertentu, terus buat laporan polis.”

“Takkan Perdana Menteri tidak tahu apa perkara yang dia cakap,” katanya.

Ulasan Muhyiddin itu merujuk laporan polis yang dibuat oleh beberapa ahli PKR Kapar terhadap Dr Mahathir kerana menggunakan perkataan “paria” ketika mengulas isu Lynas.

Menurut laporan sebuah portal, dalam laporan V. Maneyvannan di Balai Polis Sungai Kapar, beliau membidas Perdana Menteri menggunakan perkataan itu yang didakwa mengguris hati masyarakat India.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, kilang pemprosesan nadir bumi Lynas tidak boleh dilayan seperti ‘paria’ dan digesa menghentikan operasi serta keluar dari Malaysia kerana ia akan merencatkan usaha menarik pelaburan langsung asing ke negara ini.

Maneyvannan bersama tiga individu lain menuntut Mahathir memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan menggesa Ketua Polis Negara serta Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.

Maneyvannan turut mendakwa penggunaan perkataan itu membayangkan Malaysia masih mengamalkan sistem kasta yang mencadangkan “paria” sama seperti “dalit”, iaitu golongan terendah dalam sistem kasta di India. – 29 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.