SUDAH 62 tahun memisahkan kita dengan tanggal keramat pengisytiharan kemerdekaan negara iaitu 31 Ogos 1957. Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri dari sembilan buah Negeri-negeri Melayu dan dua buah negeri tanah jajahan Inggeris iaitu Melaka dan Pulau Pinang telah diberikan kemerdekaan oleh Inggeris dan bermula dari tarikh itu Malaya dan kemudiannya Malaysia pada 1963 mula diperintah dan diuruskan oleh anak-anak bangsa sendiri.

Kemerdekaan negara bukannya satu proses peralihan kuasa yang mudah, walaupun tanpa pertumpuhan darah tetapi ia telah melihatkan perjuangan dan pengorbanan yang besar dan tidak ternilai sehingga memungkinkan British akhirnya berundur dan menyerahkan kuasa kepada penduduk tempatan.

Semua pihak memain peranan dan sudah pastilah antara yang memberikan sumbangan terbesar adalah para pejuang kemerdekaan kita sendiri, Raja-raja Melayu selain anak-anak bangsa yang berbilang kaum dan agama itu. Diplomasi, tolak ansur dan pengorbanan para pimpinan ketika itu yang sangat terbuka dan berpandangan jauh telah berjaya meyakinkan British untuk berundur dan memberikan kemerdekaan.

Penting kita mengenali sejarah dan asal-usul kemerdekaan negara untuk mendidik diri dan anak-anak kita agar menghargai tanah Merdeka ini selain pengorbanan mereka ketika itu, yang menyumbang besar kearah pemerintahan sendiri ini.

Hari ini sudah ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan sejarah sebenar kemerdekaan negara, dengan meletakkan fakta dan maklumat palsu dan menyeleweng sehingga menjulang pula musuh-musuh negara sebagai kononnya pejuang sebenar kemerdekaan.

Sungguh malang kerana ada pihak yang seumpama ini yang mahu memadamkan perjuangan kemerdekaan sebenar negara oleh para pejuang terdahulu kita. Mereka seakan cuba untuk menulis semula sejarah kemerdekaan negara mengikut selera dan kehendak mereka. Dan dengan itu terhapuslah pengorbanan dan jasa mereka yang sebenarnya terlibat.

DAP adalah antara petualang yang lantang dan agresif terlibat dengan perkara ini malangnya mereka tidak sedari tindakan mereka itu mencetuskan ketegangan dan tidak harmoni sesama rakyat. Kelihatan sejak mereka memiliki kuasa politik dominan dalam kerajaan Persekutuan mereka kerap mengapi-apikan isu ini dan ia sangat dikesali.

Di sana terdapat satu usaha membeza-bezakan antara kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 itu dengan pembentukan Malaysia pada tanggal 16 September 1963 sedangkan masing-masing tarikh dan perisitiwa adalah penting dan kait-mengait dalam kita menghayati dan menghargai erti kemerdekaan negara kita.

Bagi mereka ini kemerdekaan negara sebenar adalah apabila terbentuknya gagasan Malaysia pada 1963. Kontrak sosial antara orang-orang Melayu, penduduk asal Tanah Melayu dengan masyarakat warganegara baru iaitu Cina dan India pra kemerdekaan 1957 seakan mahu dipadam dan dilupuskan dari sejarah.

Mereka mahu rakyat beranggapan bahawa segala hak kesitimewaan yang diberikan kepada orang-orang Melayu pada 31 Ogos 1957 itu sebenarnya terhapus kerana dengan pembentukkan Malaysia 1963 kononnya semua kaum dalam negara sudah sama taraf dan kedudukannya.

Inilah yang diperjuangkan oleh parti PAP yang diketuai mendiang Lee Kuan Yew dari Singapura ketika mereka sebahagian dari Malaysia dan inilah juga yang diwarisi dan terus diperjuangkan DAP, tulang belakang kerajaan Pakatan Harapan hari ini.

Perjuangan yang dimaksudkan adalah “Malaysian Malaysia” yang diperjuangkan bermati-matian oleh Lee Kuan Yew dengan anggapan Malaysia sepatutunya bebas dari sebarang diskriminasi kaum dan bahawa semua kaum dalam negara wajar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, tanpa ada apa-apa keistimewaan.

Malaya 1957 yang memberikan hak keistimewaan dan perlindungan kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera itu bagi mereka terkubur dengan pembentukkan Malaysia tahun 1963.

Idea inilah sekarang yang disuntik dalam tubuh masyarakat Malaysia yang bukan Melayu sehingga mereka juga turut percaya dengan dakyah ini dan melihat apa sahaja usaha untuk membantu orang-orang Melayu dan Bumiputera adalah berniat jahat dan satu bentuk diskriminasi yang perlu ditentang. Ini termasuklah tulisan Jawi, yang dilihat dengan penuh syak-wasangka dan api kebencian sedangkan tulisan Jawi itu adalah warisan penulisan Melayu zaman-berzaman.

“Malaysian Malaysia” bagi mereka adalah antithesis buat “Malay Malaysia” dan kerena itu hari ini ada pemimpin kanan DAP yang lantang berkata bahawa kita sekarang bergerak keluar dari “Malay World” atau Dunia Melayu ke “a Malaysian World” atau Dunia Malaysia seolah-olah isitlah dan bangsa Melayu itu sesuatu yang kotor dan bangsat.

Sejarah cuba ditulis semula sehingga mereka mahu rakyat lupa bahawa segala kesitimewaan dan perlindungan buat orang-orang Melayu ini diperakui penjajah British dan oleh masyarakat Cina dan India menjelang Merdeka.

Dalam hal ini Mendiang Prof Khoo Khay Khim pernah berkata kepada Bernama: “Bila British sampai ke Tanah Melayu, mereka dapati terdapat beberapa tempat di Semenanjung sudah mempunyai kerajaan dan mereka mengiktiraf kerajaan tersebut.

“Kerajaan itu ada ramai rakyat (orang Melayu) dan bagi British, rakyat kepada raja itu mempunyai hak yang khusus, orang lain yang datang dan menetap di Tanah Melayu bukan rakyat raja, oleh demikian mereka tidak dapat menikmati hak yang ada pada orang Melayu,”

Tambahnya: “Orang bukan Melayu di Semenanjung pada ketika itu bukanlah warga negara ataupun rakyat Raja dan mereka hanya berpeluang untuk memohon kewarganegaraan apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Feb 1948.

“Apabila British mula merancang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara bangsa, apa yang sudah wujud disambung, menjelang tahun 1957, Perlembagaan Persekutuan digubal dan dimasukkan perkara-perkara yang sudah wujud. Kedudukan istimewa orang Melayu telah bermula sejak dahulu dan berasaskan sistem kerajaan yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Di Semenanjung, sejak 1895 sudah ada sembilan kerajaan yang kekal sampai ke hari ini,”

Biarlah kita bersama-sama secara aman dan harmoni mengiktiraf dan menghargai kemerdekaan negara, dan dalam waktu yang sama menerima warisan sejarah yang membentuk negara bertuah ini.

Kenapa setelah lebih 60 tahun kita berdiri di atas kaki sendiri, kita membenarkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab membikin onar dan mengadu-domba sesama kita yang telah puluhan tahun hidup rukun dan damai.

“Malaysian Malaysia” dan apa sahaja idea yang tersasar jauh dari warisan sejarah kita perlulah ditolak termasuklah mereka yang memperjuangkannya.

Kita yakin dan percaya masyarakat Malaysia yang bukan Melayu telah sedia iktiraf dan akur pada status quo yang ada dan semua kita kenali sejarah tanah air kita. Mungkin orang Barat melihat hak keistimewaan Melayu sebagai satu diskriminasi, biarlah mereka begitu. Bagi kita yang waras dan celik sejarah, di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung.

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-62. Merdeka!!! – 30 Ogos 2019

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.