BEBERAPA hari lalu, ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor meminta kerajaan persekutuan menyelesaikan masalah bayaran perkhidmatan bas sekolah Orang Asli.

Tunggakan bayaran tersebut sudah tertunggak sehingga lima bulan dan mengakibatkan pengendali perkhidmatan tidak lagi mampu beroperasi.

Ramli meminta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Perdana Menteri menyelesaikan masalah berkenaan dengan segera.

Kenyataan Ramli itu mendapat jawapan segera daripada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Profesor Dr Juli Edo.

Jakoa kemudiannya memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan lewat meluluskan permohonannya untuk membuat pembayaran kepada kontraktor bagi bulan April, Mei dan Jun.

Namun, Menteri Kewangan menafikan kenyataan Jakoa itu.

Guang Eng berkata, kementeriannya hanya menerima permohonan Jakoa pada 22 Ogos lalu dan meluluskannya pada 27 Ogos.

Berdasarkan situasi ini, apakah sebenarnya permainan antara Jakoa dan Guan Eng. Kedua-dua pihak masing-masing menyalahkan pihak lain. Siapa antara mereka cuba menipu dan mengelirukan rakyat?

Mereka tidak mahu mengambil tanggungjawab dan akhirnya rakyat menjadi mangsa.

Ekoran itu aktivis hak Orang Asli Tijah Yok Chopil yang mengetuai Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia menyelar sikap orang politik.

Baginya gangguan perkhidmatan bas sekolah untuk pelajar Orang Asli tidak akan berlaku sekiranya ahli politik memberi perhatian kepada kerja, bukannya disibukkan oleh politik.

“Saya tidak hanya menyalahkan kerajaan sekarang kerana ia merupakan masalah lama,” katanya.

“Tetapi kerajaan sekarang membiarkan keadaan itu berlanjutan, bukannya bekerja mewujudkan sistem lebih baik.”

“Perubahan kerajaan sepatutnya mengubah keadaan, tetapi malangnya kita masih berdepan masalah sama,” katanya.

Tijah menafikan tanggapan sesetengah orang bahawa Orang Asli cenderung untuk mengabaikan kepentingan pelajaran kepada anak mereka.

Katanya, seperti rakyat Malaysia yang lain, kebanyakan Orang Asli mahu anak mereka mendapat pelajaran, selain menyokong cita-cita mereka untuk belajar.

Bagaimanapun katanya, ia selalu terhalang oleh masalah seperti ketiadaan pengangkutan dan kemudahan infrastruktur yang baik. – 30 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.