JALIL Abdul Rashid dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkuat kuasa 1 Oktober.

Pelantikannya dibuat di bawah kuasa bekas Gabenor Tan Sri Zeti Aziz yang kini merupakan Pengerusi PNB.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Zeti dilantik oleh Tun Mahathir untuk menjadi ahli Majlis Penasihat Kerajaan.

Tapi dalam pelantikan Jalil, Tun Mahathir seolah-olah diketepikan dan Zeti sudah membelakangi Perdana Menteri yang melantiknya sebagai orang penting dalam kerajaan.

Tun Mahathir mengakui beliau tidak mendapat maklumat berkaitan pelantikan Jalil apabila ditanya sama ada Jalil memahami hal ehwal ekonomi bumiputera di negara ini kerana Jalil hanya mempunyai pengalaman di luar negara.

“PNB di bawah Zeti. Zeti tidak beritahu saya pun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini hari ini.

Zeti memegang jawatan Pengerusi PNB berikutan persaraan Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Kumpulan PNB dan Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB).

PNB adalah syarikat pengurusan dana terbesar Malaysia dengan aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah RM280 bilion.

PNB adalah antara enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang menguasai ratusan syarikat senaraian awam dan persendirian di Malaysia. – 30 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.