PAS mencadangkan Kongres kebangsaan bertemakan kemiskinan diadakan ekoran percanggahan perspektif mengenai statistik kemiskinan yang dinyatakan oleh kerajaan dengan laporan yang disediakan oleh Profesor Philip Alston (UN Special Rapporteur on Extreme Poverty and Human Rights) pada 23 Ogos 2019.

Menurut Philip Alston kadar kemiskinan sebenar di Malaysia adalah jauh lebih tinggi, hampir sama dengan negara lain iaitu pada kadar kira-kira 15 peratus.

“Parti Islam Se-Malaysia mencadangkan agar satu kongres kebangsaan dianjurkan untuk meneliti dan merumus resolusi baru bagi memperincikan pelbagai perkara mengenai isu kemiskinan di Malaysia.”

“Kongres tersebut mestilah melibatkan semua pihak tanpa mengira pendirian politik supaya natijahnya lebih objektif,” kata Timbalan Presiden PAS dalam suatu kenyataan.

Menurutnya PAS berpendapat isu kemiskinan mesti dijadikan fokus utama supaya jurang kaya miskin antara bandar dan luar bandar termasuk antara kaum dapat diperbaiki.

Selain itu katanya, ia turut melibatkan perubahan polisi, peruntukan skim bantuan atau subsidi dan juga pengagihan zakat.

“Hal ini juga boleh diselarikan dengan pelbagai gesaan yang timbul sebelum ini mengenai semakan semula Paras Garis Kemiskinan dan dasar afirmatif yang telah dipraktikkan sebelum ini.”

“Isu kemiskinan mesti dilihat satu perkara yang signifikan di samping memacu negara ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi,” kata Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan laporan yang dikeluarkan oleh Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Tun Mahathir berkata, bagaimanapun kerajaan akan mengambil tindakan berhubung laporan garis kemiskinan di negara ini.

Kerajaan perlu mengkaji dan menilai semula kadar kemiskinan di negara ini kerana laporan rasmi bahawa ia hanya pada kadar 0.4 peratus adalah tidak tepat.

Alston yang juga pakar hak asasi manusia, berkata ia adalah hasil penemuannya selepas mengadakan lawatan ke negara ini selama 11 hari bermula 13 Ogos lalu. – 30 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.