GANGGUAN sistem yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memberikan kesan yang tidak baik kepada keyakinan pelabur dan pelancong.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menimbulkan lima persoalan utama yang perlu dijawab oleh pihak berkenaan khususnya MAHB.

“Adakah “Business Continuity Plan” (BCP) wujud di KLIA atau infrastruktur kritikal negara yang lain?”

“Adakah sistem rangkaian utama di KLIA tidak ada sistem sokongan yang akan mengambil alih operasi rangkaian utama dalam beberapa saat jika sistem rangkaian utama terganggu?”

“Berapa banyakkah kerugian kepada negara kesan daripada gangguan ini termasuk kesannya kepada keyakinan pelabur asing dan pelancong?”

“Adakah wujud “Disaster Recovery Plan” (DRP) pada infrastruktur kritikal negara yang lain untuk menangani apa sahaja gangguan terhadap infrastruktur itu jika berlaku apa sahaja bentuk gangguan?”

“Apakah wujud kekerapan latihan kepada anggota MAHB dan KLIA berdasarkan Disaster Recovery Plan (DRP) yang sedia ada (kalau ada) dalam memastikan seluruh anggota sokongan perkhidmatan itu sentiasa bersiap siaga?,” soal Amzad dalam suatu kenyataan.

Amzad juga menuntut, selain daripada siasatan punca kerosakan kepada sistem KLIA, beliau menyarankan agar hasil kajian terhadap persoalan ini perlu dimasukkan dalam laporan menyeluruh terhadap gangguan yang berlaku agar ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mrminta semua pihak tidak membuat andaian kerana isu KLIA ini.

Hal ini kerana semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak polis dan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) KLIA menjalankan siasatan.

“Kita tak mahu membuat apa-apa spekulasi kerana ini isu besar. Perkara ini kita tidak boleh buat andaian sahaja sebab ini melibatkan pintu masuk utama negara, ikon dan satu tempat yang sangat strategik untuk negara.

“Jadi apa-apa yang berlaku di sana patut disiasat dengan terperinci dan saya tidak mahu mana-mana pihak, termasuk pengendali lapangan terbang, membuat apa-apa andaian,” katanya.

Anthony Loke mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan TAMS KLIA pada 26 Ogos lepas susulan gangguan sistem di lapangan terbang itu sejak 21 Ogos.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin dalam kenyataannya pada Isnin lepas dilaporkan tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA disebabkan perbuatan berniat jahat. – 30 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.