KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) dijangka membelanjakan sekitar RM1.6 billion setahun untuk program sarapan percuma bagi 2.7 juta pelajar sekolah rendah seluruh negara mulai Januari 2020.

Sekali fikir tentulah projek ini sangat baik. Apa salahnya anak-anak disediakan makanan sarapan percuma sebelum mereka memulakan pembelajaran.

Itu sekali fikir. Tetapi bila difikirkan beberapa kali ada beberapa isu yang harus difahami.

Ini bukan soal samada keputusan KPM itu salah atau betul. Ini soal keutamaan. Ini soal antara keputusan yang baik dan keputusan yang lebih baik.

Untuk itu kita kena jawab soalan paling asas. Kumpulan pelajar manakah yang sebenarnya sangat perlukan sarapan percuma ini?

Adakah semua 2.7 juta pelajar sekolah rendah atau kumpulan pelajar tertentu sahaja?

Kita sedia maklum sebahagian besar pelajar akan mengambil sarapan di rumah. Ibubapa akan sediakan sarapan untuk anak-anak mereka. Itu amalannya.

Tiada ibubapa yang merungut untuk sediakan sarapan untuk anak sendiri. Anda pernah dengar ada ibu yang merungut kerana terpaksa sediakan sarapan untuk anak-anak?

Yang selalu saya dengar ialah ramai ibu merungut anak mereka tak mahu makan sarapan yang telah pun disediakan. Betul kan?

Malah kerana sayangkan anak, setiap ibu sudah pun merancang dan membayangkan apakah sarapan untuk anak-anaknya esok pagi sebelum mereka masuk tidur pada malamnya.

Tetapi kita juga tahu memang ada sebahagian kecil ibubapa yang tidak MAMPU atau tidak SEMPAT menyediakan sarapan pagi untuk anak anak mereka.

Pelajar dari kumpulan keluarga B40 memang perlu dibantu. Mereka tidak mampu.

Memang ada di kalangan anak-anak keluarga miskin yang tidak bersarapan bila ke sekolah. Jadi program sarapan percuma di sekolah sangat baik.

Ada juga ibubapa yang bekerja shif malam atau mula keluar bekerja seawal jam 4 pagi. Mungkin mereka MAMPU tetapi mereka tidak SEMPAT untuk sediakan sarapan untuk anak-anak mereka di waktu pagi.

Jadi anak-anak mereka juga perlu diberikan sarapan percuma di sekolah. Eloklah dibantu.

Tetapi lebih ramai ibubapa lain yang tidak perlu kepada program sarapan percuma ini untuk anak-anak mereka.

Mereka mampu dan ada masa untuk sediakan sarapan untuk anak-anak sendiri.

Malah dalam banyak keluarga, masa sarapan inilah masa berkualiti untuk interaksi keluarga sebelum masing masing sibuk dengan urusan seharian.

Selepas bersarapan bersama-sama, ibubapa akan ke tempat kerja dan anak-anak pula ke sekolah.

Mungkin lewat petang atau sebelah malam nanti baru mereka akan berinteraksi lagi semasa makan malam.

Bagi kumpulan ini, program sarapan percuma bukanlah satu KEPERLUAN tetapi hanyalah satu PILIHAN sahaja. Kalau rezeki dah datang bergolek, ambil sajalah.

Saya sendiri tak akan menolak rezeki ini. Kalau saya ada 5 anak, seorang RM5 sehari belanja sekolah, saya dah jimat duit RM25 sehari. Sebulan? Setahun? Jadi tentulah saya suka.

Tapi pernahkah saya tahu keadaan bilik darjah anak saya belajar? Pernah saya rasa macamana suasana belajar dalam keadaan yang panas, bising, bersesak dan rimas? Tidak bukan?

Tak ramai ibubapa yang akan faham bagaimana rasanya semua ini. Cuba hadir ke sekolah dan duduk di dalam kelas waktu tengahari. Rasakan sendiri.

Sebab itu walaupun program sarapan percuma ini baik, ada lagi tujuan yang lebih baik untuk digunakan peruntukan ini.

Secara mudahnya dari 1.6 billion itu, sewajarnya RM600 juta sahaja digunakan untuk program sarapan percuma khusus untuk kumpulan B40 dan berkeperluan khas. Oleh itu masih ada RM1 billion baki dari peruntukan tersebut.

Jika tidak semua pelajar perlukan sarapan percuma, untuk apa baki RM1 billion ini boleh digunakan? Apakah ada keperluan kritikal yang lain untuk pendidikan anak-anak kita?

Jawapnya memang ada. Sekolah kita masih berhadapan isu bilik darjah sesak dengan pelajar.

Kerana terlalu sesak, pembelajaran menjadi terganggu dan fokus akan hilang kerana rimas dan panas.

Banyak kajian mendapati pelajar cepat hilang motivasi bila belajar dalam keadaan yang tidak kondusif. Pembelajaran yang berkesan sangat dipengaruhi oleh persekitaran.

Persekolahan di negara ini memang pelik. Ada standard persekolahan yang dibeza-bezakan.

Ada sekolah premier yang bilik darjah siap dipasang penghawa dingin, dalam kelas pula hanya ada 25 pelajar. Mereka belajar dalam keadaan yang cukup selesa.

Ada pula sekolah yang kelasnya daif, kipas angin pun rosak tidak dibaiki, kerusi meja pecah, dalam kelas pula sampai 45 pelajar dan ada yang lebih dari itu. Bagaimana anak-anak ini nak belajar dengan tenang?

Tapi ironinya, bila keputusan peperiksaan UPSR atau SPM diumumkan, sekolah-sekolah premier diberikan pujian melambung tinggi kononnya telah menunjukkan prestasi cemerlang.

Kalau kelas dah macam sardin, amalan dan strategi pengajaran yang lebih berpusat kepada pelajar pasti tidak dapat dijalankan. Bagaimana pelajar nak cemerlang?

Ramai guru berkata walaupun mereka telah diberikan latihan, bengkel dan kursus kaedah pengajaran yang berkesan tetapi mereka tidak dapat lakukan semua itu disebabkan kelas terlalu sesak dengan pelajar.

Akhirnya jutaan ringgit yang dibelanjakan untuk meningkatkan kemahiran dan keberkesanan pengajaran guru dibazirkan begitu sahaja. Ada kemahiran tetapi tidak dapat dilaksanakan.

Gunakan peruntukan RM 1 billion untuk tambah bilik darjah. Pastikan setiap kelas mempunyai maksimun 25 pelajar sahaja. Dengan baki RM1 billion, jika kos menambah setiap bilik darjah ialah RM20 ribu, KPM boleh menyediakan 50,000 bilik darjah tambahan.

Bilangan 50 ribu bilik darjah tambahan ini dapat menyuraikan kesesakan bilik darjah kerana seramai 1.25 juta pelajar (jika satu bilik darjah dimuatkan dengan 25 pelajar) akan dapat belajar di bilik darjah tambahan.

Sebenarnya bukan 1.25 juta pelajar sahaja dapat faedah kerana dengan sekali belanja bina bilik darjah baru, bertahun-tahun faedahnya untuk berjuta-juta pelajar.

Walaupun sarapan untuk semua pelajar adalah program yang baik, Bukankah membina tambahan bilik darjah adalah lebih wajar?

Ibubapa tentu sangat menghargai KPM dengan penyediaan bilik darjah yang lebih kondusif untuk anak-anak mereka berbanding pembaziran menyediakan sarapan percuma pada kumpulan pelajar yang belum tentu akan menjamahnya. – 30 Ogos 2019.

ANUAR AHMAD,
Pensyarah UTM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

1 COMMENT

  1. I believe the Sekolah kebangsaan education must be improved. The ordinary hard working malay parents kids are losing out. THe politicians kids go to international school while we who pay their fucking salary stuck with dinosaur age education system. Demand for better education, introduce computer coding in sekolah kebangsaan & prioritise on STEM subject in all Sekolah kebangsaan. Only education can unite Malaysia. only 10% of the kids will require food aid in school, for the rest of the kids their parents will not let their kids go on hunger. This is a project to make the rich richer. Malay NGO need to demand better education for their future generation.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.