YANG Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Abdul Aziz tidak dibenarkan menyampaikan ceramah dan slot kuliah subuhnya juga diganti orang lain.

Nik Omar yang pernah mewakili Amanah di DUN Chempaka berkata, beliau meraikan kerencaman mentaliti berpolitik di negara ini yang mengenakan larangan kepada pendakwah tidak sealiran dengan sesebuah parti yang mengetuai kerajaan.

“Kita raikan mentaliti berpolitik, suasana yang wujud. Maknanya bukan mustahil larangan boleh berlaku, bahkan bukan kali pertama.

“Telah ada sebelum ini ulama yang lebih masyhur, yang dihalang untuk menyampaikan ucapan hanya kerana berlainan pandangan dan kumpulan,” katanya.

Selain itu, Nik Omar berkata, kegagalan golongan yang mahu membawa kebaikan belum diberi peluang oleh Allah menerajui sesebuah negeri atau negara banyak dipengaruhi oleh faktor mentaliti sebegitu.

“Sepatut dan seeloknya, orang yang nak memperjuangkan Islam mempunyai akhlak terpuji, contoh teladan terbaik untuk diikuti, ditiru oleh kumpulan atau pun golongan lain khususnya bukan Muslim,” katanya.

Tambah Nik Omar, beliau menghormati keputusan kerajaan negeri tertentu yang tidak membenarkan penceramah dari PH untuk berucap di negeri yang ditadbir mereka.

“Kita hormat keputusan tersebut sekiranya keputusan itu (dapat) menggambarkan kematangan sesebuah organisasi atau pun kerajaan.

“Tapi saya rasa dalam sebuah negara demokrasi kita sepatutnya memberi peluang yang sama rata seperti mana yang ditunjukkan oleh PH.

“Sepatutnya kerajaan negeri yang bukan PH perlu memberi peluang yang sama.

“Apa pun ia berkait dengan mentaliti, sebenarnya. Mungkin kita perlukan masa supaya suasana ini boleh berubah,” ujarnya. – 31 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.