VIDEO berdurasi lebih 3 minit Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mencuri tumpuan apabila tampil menceritakan tentang maksud kemerdekaan di hadapan sekumpulan kanak-kanak.

Dalam rakaman tersebut menunjukkan Abdul Hadi sedang duduk sambil menjawab mesra pertanyaan kanak-kanak berkenaan mengenai apakar erti ‘merdeka’.

“Tok Ayah, Tok Ayah, apa itu merdeka?” tanya seorang kanak-kanak perempuan ketika melihat laungan merdeka oleh Tunku Abdul Rahman di kaca televisyen.

“Merdeka tu kita berjaya halau Orang Putih yang memerintah kita.

“Orang Putih datang dengan senapang, dengan senjata, orang kita lawan. Ada yang mati.

“Orang alim kena tangkap. Orang yang kuat agama jadi ketua, lawan. Mula-mula orang orang Melayu Islam lawan.

“Kemudian Cina dan India pun lawan juga. Sama-sama lawan.

“Akhirnya mereka tak tahan, bergaduh, mereka setuju tinggalkan negara ini,” katanya.

Manakala Abdul Hadi turut disoal oleh seorang kanak-kanak laki yang lain adakah beliau juga turut menyambut hari merdeka ketika masih kecil.

“Ye, sambut sebab kita gembira negara kita selamat, orang putih dah balik.

“Masa tu, Tok Ayah sekolah rendah lagi umur 10 tahun,” katanya.

Dalam jawapan Abdul Hadi sempat menyelit dan memberitahu bahawa rakyat Malaysia harus menghormati bendera Malaysia.

“Orang zaman dulu sanggup mati pertahankan bendera ini.

“Bendera ini satu benda mulia pada kita orang Islam pun begitu.

“Nabi kita pun berjuang ada bendera. Bendera ini tanda,” katanya.

Selain itu, dalam video berkenaan turut memperlihatkan bahawa beliau mengambil pendekatan menulis perkataan merdeka menggunakan tulisan jawi.

Abdul Hadi tidak lupa mengingatkan pesanan Nabi Muhammad bahawa anak-anak adalah seperti kain putih dan ibu-bapa harus mencorakkan mereka termasuk dalam memahami erti kemerdekaan.

“Sekarang ni sampai setengah abad kita merdeka dah. Daripada Malaysia Timur, Malaysia Barat.

“Kita gabung semua sekali berbelas buah negeri dan berbagai kaum, berbagai agama.

“Islam sebagai agama persekutuan dan kita boleh hidup dalam keadaan harmoni dan aman. Keadaan ini perlu dikekalkan.

“Pertahankan agama, pertahankan perpaduan dan pertahankan kemerdekaan daripada saya Abdul Hadi bin Haji Awang, presiden PAS,” ujarnya. – 31 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.