AHLI Parlimen Bera, Datuk Ismail Sabri Yaakob menzahirkan kebimbangan terhadap perpaduan kaum yang semakin goyah ketika Malaysia menyambut kemerdekaan yang ke-62.

Menurut beliau, kerisauan itu akibat daripada perbalahan isu yang ditimbulkan oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersefahaman sehingga isu-isu berkenaan kian menghimpit rakyat.

“Bersyukur kerana kita dikurniakan Malaysia yang berbilang kaum, tinggi nilai budaya dan tinggi peradabannya.

“Namun apa yang merisaukan adalah perpaduan di antara kita yang semakin goyah.

“Pentadbiran negara oleh pemimpin-pemimpin PH tidak lagi mencapai kesefahaman, justeru kian menghimpit rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau yang juga selaku ketua pembangkang mengingatkan bahawa bumi bertuah ini ialah hadiah daripada pejuang bangsa yang banyak berkorban untuk memberikan makna kepada generasi ketika ini sebagai ‘anak-anak merdeka’.

“Tanggal 31 Ogos 1957 adalah detik yang bersejarah buat negara di mana Tanah Melayu dan rakyatnya memperoleh kemerdekaan setelah dijajah beratus tahun lamanya.

“Perjalanan untuk mencapai kemerdekaan bukanlah mudah.

“Oleh itu, sebagai anak merdeka, kita wajib meneruskan perjuangan pahlawan-pahlawan negara dan menjaga serta membina negara ke arah yang lebih baik,” ujarnya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, negara ini adalah kebanggaan rakyat Malaysia dan tidak seharusnya lupa terhadap penjajahan minda daripada pengaruh asing.

“Jangan tunduk kepada mereka yang cuba mengiktiraf musuh negara, komunis atau bintang tiga atau apa jua sekali pun untuk merobek perjuangan kita.

“Kitalah anak bangsa merdeka yang berdaulat. Kita bebas memacu negara berlandaskan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Di samping itu, beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghayati erti kemerdekaan dan menyemai perasaan cintakan tanah air serta mengeratkan perpaduan dan silaturrahim antara kaum.

“Ayuh, rakyat Malaysia! Kibarkanlah Jalur Gemilang dengan bangga,” katanya. – 31 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.