NAIB Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tunku Muinuddin Putra menyifatkan sudah tiba masa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi tumpuan untuk menjadikan sistem persekolahan satu aliran.

Muinuddin yang juga merupakan cucu kepada bapa kemerdekaan negara memberi sokongan sekiranya tindakan menjadikan persekolahan satu aliran itu dijayakan kerana ianya bertujuan bagi memelihara perpaduan kaum yang dilihat semakin terhakis.

“Saya betul-betul sokong sekolah satu aliran, semua sekolah menjadi satu, bahasa-bahasa lain seperti Cina dan Tamil boleh diajar.

“Pelajar Melayu boleh belajar bahasa Cina, murid Cina nak tahu pasal Islam boleh, tak semestinya dia mengambil tahu pasal Islam akan memeluk Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Muinuddin juga menzahirkan persetujuan beliau terhadap pertubuhan pendesak pendidikan Cina seperti Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) diharamkan.

“Kita patut mula daripada sekolah untuk memupuk perpaduan.

“Saya juga sokong kalau kerajaan haramkan Dong Zong kerana cara Dong Zong tentang tulisan Jawi mengguris orang Melayu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Dong Zong dilihat sebagai antara yang lantang menentang pengenalan tiga muka surat tulisan Jawi dalam Buku Teks Darjah Empat di sekolah vernakular.

Selepas pelbagai perdebatan, pada 3 Ogos lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan pengenalan tulisan Jawi akan dibuat secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Meskipun Muinuddin berasa tidak puas hati dengan apa yang berlaku tetapi pertembungan antara kaum perlu dielakkan agar peristiwa hitam pergaduhan kaum yang tercetus pada 13 Mei 1969 tidak berulang. – 31 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.