JABATAN Alam Sekitar (JAS) perlu jelaskan alasan pihaknya meluluskan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) terhadap Lynas bina tapak pelupusan setinggi sembilan tingkat.

Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas, Tan But Teet berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Lynas untuk menggunakan sebidang tanah seluas 39 hektar di belakang kilang nadir bumi itu bagi menempatkan satu juta tan sisa neutralisation underflow (NUF).

“Sisa itu telah dikelaskan dalam peraturan alam sekitar sebagai bahan buangan berjadual.

“JAS mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan kepada orang ramai mengapa ia meluluskan laporan EIA tersebut dan (Jabatan Alam Sekitar) perlu mendedahkan kesemua 68 syarat yang dikenakan terhadap (syarikat) pelombong Australia itu.

“Selepas Lynas menghantar laporan EIA kepada JAS untuk diluluskan, kami turut memberikan pandangan kami secara bertulis berkenaan hal ini.

“Kami nak tahu, apakah pandangan kami telah diterima dan diambil kira dalam syarat-syarat (yang dikenakan)? Ia akan memastikan Lynas mematuhi semua syarat-syarat dengan lebih baik lagi,” katanya.

Menurut But Teet, tapak buangan itu bertujuan menempatkan sisa NUF yang dikelaskan peraturan alam sekitar sebagai bahan buangan berjadual untuk tempoh 10 tahun akan datang dengan cara menutup sisa tersebut secara betul.

Lapor media tempatan sebelum ini menunjukkan bahawa JAS memberikan kelulusan bersyarat terhadap laporan EIA berhubung sisa NUF termasuklah mengehadkan tapak pelupusan NUF pada ketinggian 30m dari aras tanah, iaitu dianggarkan setinggi bangunan sembilan tingkat, tidak termasuk “penutupnya”.

JAS berkata Lynas sepatutnya mendapatkan kelulusan bertulis sebelum membina tapak pelupusan itu, dan mendapatkan lesen melupuskan sisa berjadual sebelum memulakan operasi tapak pelupusannya.

JAS juga sepatutnya mengarahkan Lynas untuk tampil dengan rancangan pengurusan tentang bagaimana sisa NUF dapat digunakan semula sebagai bahan mentah supaya tapak pepulusan itu tidak melebihi muatannya dan jabatan itu memaklumkan sudah memberi kelulusan terhadap laporan EIA tersebut setelah mengkaji kesannya ke atas alam sekitar.

Surat kelulusan itu dikeluarkan pada 23 Mei lalu, selepas dibincangkan dalam Jawatankuasa Semakan Teknikal JAS yang mengandungi beberapa agensi kerajaan berkaitan.

Jelas But Teet, JAS seolah-olah memudahkan jalan buat Lynas bagi menyimpan sisanya dengan kaedah yang murah.

“Layanan macam ini takkan ada (diberikan) pada operator yang lain.

“Sisa NUF sehingga mencecah ketinggian bangunan sembilan tingkat merupakan sesuatu yang tidak wajar.

“Ini memandangkan terdapat air bawah tanah pada kedudukan satu meter di bawahnya dan sisa debu pula mungkin akan terbang dan tersebar serta menyebabkan pencemaran di kawasan sekitar.

“Ini akan memberi ancaman besar terhadap alam sekitar,” katanya. – 1 September 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.