KUMPULAN Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mengemukakan surat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pembatalan pendaftaran Dong Zong di Johor oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) negeri itu.

Low Chee Chong yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat berkata, pihaknya telah menerima surat pembatalan bertarikh 8 Ogos pada 20 Ogos lalu daripada Pengarah RoS Johor dengan alasan tidak menerima sebarang penjelasan mengenai pindaan perlembagaan persatuan berkaitan penglibatan guru.

“Menerusi surat itu juga, RoS memaklumkan rayuan boleh dibuat kepada Kementerian Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari daripada tarikh surat.

“Jumaat lalu kita telah serahkan surat kepada Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita berharap dapat berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah pendaftaran persatuan ini,” katanya.

Selain itu, Chee Chong turut memberitahu bahawa pada Januari lalu Dong Zong menerima surat tunjuk sebab daripada RoS Johor kerana perlembagaan negeri itu adalah bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 kerana terdapat penglibatan guru-guru.

“Dong Zong Johor berbeza dengan Selangor kerana mereka mempunyai sejarah tersendiri kerana ditubuhkan lebih awal iaitu pada 1955 berbanding Akta Pertubuhan pada 1966.

“Sepanjang beberapa tahun ini tidak ada sebarang masalah yang berlaku.

“Jadi pihak Dong Zong negeri itu telah berjumpa dengan pegawai pendaftaran di Bahagian Pengurusan Pertubuhan.

“Pihak RoS mencadangkan supaya persatuan itu membuat pendaftaran di bawah Kementerian Pendidikan kerana ada penglibatan guru.

“Pada Mac surat telah ditulis dan kementerian berkata ia tidak melibatkan pihaknya dan meminta agar ia dirujuk semula kepada RoS. Pegawai di jabatan itu secara lisan berkata ia boleh diselesaikan,” katanya.

Tambah beliau, Dong Zong Johor juga telah berbincang dengan pegawai pendaftar untuk meminda perlembagaan persatuan selaras dengan Akta Pendaftaran.

“Pihak persatuan boleh menukar perlembagaan untuk membuang penglibatan guru.

“Perundingan berlangsung dengan baik dan lancar.

“Pada Julai lalu juga, RoS berkata pihaknya mahu merujuk perkara tersebut kepada bahagian undang-undang dan dimaklumkan bahawa secara prinsip ia tidak ada sebarang masalah,” ujarnya. – 1 September 2019

1 COMMENT

  1. Kenapa perlu berlembut dgn kumpulan yg xtrem dn melanggar perlembagaan negara, dong zong adalah kumpuln yg anti melayu anti islam, tdk perlu diberi apa2 kelulusan kpd mrk yg merosakan perpaduan rakyat, mrk rasis.. .

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.