Sultan Perak tegur sikap pemimpin ‘kaduk naik junjung’

1

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah menegur sikap segelintir pemimpin dan pihak yang semakin ego bersaing pamerkan kuasa semata-mata ingin mendapatkan pengaruh dan sokongan politik.

Baginda bertitah, suhu politik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 semakin panas kerana pemimpin kini sanggup merendahkan nilai diri demi politik yang dibawa masing-masing sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang.

“Sifat-sifat kaduk menaiki junjung dan sifat-sifat memilih lebih mahu berputih tulang setelah berputih mata oleh sebahagian pemimpin politik telah meningkatkan suhu permusuhan dalam kalangan rakyat.

“Perbuatan mengata dulang paku serpih melalui persaingan melukis wajah lebih hodoh lawan politik, semakin menambahkan mendung di langit negara,” titah baginda

Baginda yang dikenali sebagai raja yang sering ‘menjentik’ pemimpin, Sultan Nazrin juga bertitah, sudah 62 tahun negara mencapai kemerdekaan tetapi suara-suara menyemai kebencian antara kaum dan agama semakin rancak dimainkan.

Sultan Nazrin bertitah bahawa pelbagai provokasi yang keterlaluan dilakukan antaranya termasuklah meletak patung dan melemparkan daging khinzir di dalam masjid, meletak kepala lembu di kuil Hindu, menyebarkan bahan diayah, fitnah dan penghinaan melalui media sosial termasuk penghinaan terhadap agama Islam serta Nabi Muhammad SAW.

“Setiap ungkapan dan setiap perbuatan sedemikian sebenarnya merupakan pemasangan satu bom jangka yang menantikan masa untuk meletup.

“Sedarilah! Serpihan daripada letupan bom jangka ini tidak mengenal mangsa.

“Malah anak cucu serta kaum kerabat pemasang bom jangka, turut terdedah kepada akibat daripada perbuatan-perbuatan berfikiran singkat,” titah baginda

Dalam pada itu, titah baginda bahawa rakyat tidak melihat pada kebenaran fakta dan kesahihan berita kini hanya dipandang sepi, sebaliknya emosi semakin mempengaruhi rakyat termasuk dalam kalangan terpelajar sehingga minda semakin diracuni yang menjadi penyebab rakyat taasub.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah setiap insiden daripada kejadian jenayah di jalan raya kepada tindakan disiplin seorang guru di sekolah atau majikan di pejabat, warna baju pemimpin, kesilapan mengibarkan bendera, perubahan kurikulum pengajian dilihat dan ditafsirkan secara negatif menurut dimensi kaum dan agama.

“Keadaan ini amat tidak sihat, meletakkan negara berada dalam zon bahaya yang mencemaskan.

“Majoriti rakyat di negara ini cintakan keamanan.

“Mereka semakin resah, semakin gelisah, bimbang dan takut,” titah Sultan Perak.

Baginda juga bertitah bahawa isu panas dalam negara wajib segera diturunkan dan perbuatan menyalakan api perkauman, meniupkan bara permusuhan antara agama perlu dihentikan tanpa berlengah.

“Undang-undang wajib didaulatkan supaya keselamatan nyawa dan harta benda rakyat yang tidak berdosa terjamin serta dilindungi,” titah baginda.

Mengakhiri titah, Sultan Nazrin turut memanjatkan doa agar Malaysia diamanahkan dengan pimpinan yang amanah, ikhlas, membawa suara kesederhanaan, suara munasabah, suara rasional dan suara persaudaraan agar rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini hidup rukun serta harmoni. – 1 September 2019

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.