JAWATANKUASA Disiplin UMNO mengesahkan pihaknya kini sedang menyiasat Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagaimana pun berkata, tujuan kenapa bekas menteri itu disiasat adalah sulit dan rahsia.

“Ya, kita (Jawatankuasa Disiplin UMNO) sedang siasat Hishammuddin. Sebab disiasat tak boleh didedahkan. ia perkara sulit, belum boleh cerita. Nanti dah selesai kita cerita,” kata Apandi.

Terdahulu, Hishammuddin menarik perhatian umum apabila mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Hishammuddin bagaimanapun menjelaskan pertemuannya dengan Perdana Menteri adalah perkara biasa.

Beliau juga dikaitkan sebagai antara individu yang berusaha menarik wakil rakyat UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bagaimanapun Hishammuddin menyangkal dakwaan tersebut.

Namun, Hishammuddin menafikan bahawa dirinya disiasat.

“Tak betul. Saya tak pasti apa yang mereka katakan,” kata Hishammuddin.

Manakala Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dalam kenyataan di Twitter berkata pengurusan Umno tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara itu.

“Lembaga disiplin badan bebas (untuk menyiasat). Kalau ada prima facie, majlis kepimpinan tertinggi akan diberitahu. Setakat ini tak ada apa pun,” katanya. – NTHQiBORD, 2 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.