HIMPUNAN Bangkit di Pasir Salak menunjukkan bahawa orang Melayu sudah bersedia untuk bangkit bersama mempertahankan hak istimewa, kedaulatan raja-raja dan agama Islam.

Kehadiran lebih 10, 000 orang Melayu di Pekan Kg Gajah yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dari seluruh negara berlangsung dalam suasana penuh semangat.

Orang ramai yang hadir sebahagian besarnya memakai lilit di kepala dan sepanduk yang bertulis ‘Melayu Bangkit’ menjadikan suasana majlis berkenaan penuh semangat.

Acara dimulakan dengan tayangan video kisah perjuangan Leftenan Adnan dan deklamasi sajak mengenai nasib orang Melayu dan kisah pejuang-pejuang Melayu menentang penjajah British.

Laungan Melayu bangkit, hidup Melayu, takbir dan Daulat Tuanku bergema di sepanjang perhimpunan.

Ucapan daripada para pemimpin Melayu menaikkan lagi semangat antaranya Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Rahman, Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Turut hadir Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarikh Khan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Ucapan lebih tertumpu kepada keadaan politik semasa yang memberi kesan terhadap hak orang Melayu, institusi raja-raja dan agama Islam.

Tajuddin dalam ucapannya berkata, orang Melayu tanpa mengira fahaman politik mesti bersatu untuk mempertahankan hak demi masa generasi akan datang.

“Kita tidak mahu anak cucu kita nanti menerima nasib yang sama seperti generasi terdahulu di zaman penjajah yang dihina dan diperkotak-katikkan,” katanya.

Lokman pula dalam ucapannya berkata, Melayu tidak rasis apabila bangkit untuk mempertahankan hak sendiri, raja-raja dan kesucian Islam kerana ia terkandung dalam Perlembagaan.

“Tak kan orang Melayu mahu berdiam diri apabila hak mereka dipertikai, bermakna orang Melayu ada asas untuk berasa takut dengan keadaan mereka ketika ini,” katanya.

Annuar pula menegaskan bahawa tidak pernah berlaku orang Melayu berasa begitu resah dengan keadaan politik semasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Malah penghinaan terhadap agama Islam sudah menjadi perkara biasa sehingga agensi agama dipertikai yang bertujuan untuk menghakis kesucian Islam,” katanya.

Di akhir himpunan, satu resolusi dibacakan oleh pengerusi penganjur perhimpunan, Dr. Faizal Tajuddin yang menuntut supaya agama Islam dipertahan, hak istimewa tidak dipertikai dan kedaulatan raja-raja dikekalkan. – 1 September 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.