TULAR satu video nyanyian Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bernyanyi sebuah lagu sempena hari kebangsaan.

Menteri Belia dan Sukan itu menyanyi lagu patriotik bertajuk ‘Sejahtera Malaysia’ dan memuat naik nyanyian tersebut di laman Instagram miliknya.

Namun, nyanyian Syed Saddiq tidak mendapat pujian oleh pengguna media sosial Malaysia.

Rata-ratanya geli hati dengan Ketua Armada Bersatu itu, dan menyamakan keyakinan Syed Saddiq dengan usahawan produk, Datuk Aliff Syukri.

“Dah macam Aliff Syukri dah dia ni,” tulis Iqbal Mpire di ruangan komen hantaran video di Instagram Syed Saddiq.

“Adoi, teringat aku dekat seorang mamat tu, apa nama, Aliff Syukri? Yang menari bobo di mana dengan Sajat tu,” tulis Batrisyah Syah di sebuah hantaran Facebook Astro Awani.

“Dia ni suara sumbang tapi keyakinan tinggi, okay lah gua respect tapi itulah macam Datuk Alif Syukri,” tulis Fathia Ibrahim juga di hantaran Facebook Astro Awani.

Aliff Syukri, adalah usahawan tempatan yang sangat popular dalam memasarkan produk kelangsingan dan kecantikan.

Beliau kerap menyanyi pelbagai jenis lagu, biarpun menurut netizen, usahawan itu tidak mempunyai suara yang baik.

Walaupun dikecam dan dikritik, Aliff Syukri terus menerus menyanyi bagi tujuan memasarkan produknya di seluruh Malaysia.

Kritik pun ada, puji pun ada

Hantaran video di laman Instagram Syed Saddiq juga dibanjiri dengan pelbagai kritikan, dan sedikit pujian termasuklah dari penyanyi popular tanah air.

Harith Ridzwan melalui satu komen berkata, Syed Saddiq mempunyai keyakinan yang sangat tinggi, biarpun bakat, tempo, vokal menteri itu adalah kosong.

Nurul Huda Zahami pula berkata beliau ‘tergelak’ apabila mendengar nyanyian Syed Saddiq, dan bertanya sekiranya menteri itu melihat kembali video tersebut atau tidak, sebelum memuat naik ke media sosial.

Zeus 665 pula mengecam perbuatan Syed Saddiq kerana merosakkan lagu kegemarannya dengan versi nyanyian yang sangat buruk dan bersuara sumbang.

Bagaimanapun, Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi komen positif, dengan menyatakan bahawa beliau mungkin tidak boleh cari rezeki dalam bidang seni, jika Syed Saddiq menyanyi.

Penyanyi bersuara lunak, Sufian Suhaimi juga memberi reaksi positif dan menyifatkan nyanyian itu sebagai ‘steady’.

Syed Saddiq adalah menteri paling muda dalam kabinet Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mungkin disebabkan usianya masih muda, menteri itu tidak segan untuk ‘menyumbangkan suara’ biarpun perbuatan itu, berupaya merendahkan standard dan kredibilitinya. – NTHQiBORD, 2 September 2019.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.