NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tuduhan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadap UMNO dan PAS rasis dan berniat jahat.

“Kenyataan Guan Eng menuduh orang Melayu /bumiputera khususnya UMNO dan PAS terlibat dalam kempen memboikot produk non bumi adalah jahat dan sangat tidak bertanggungjawab.”

“Kenyataan ini juga jelas menunjukkan sikap rasis sempit beliau yang sentiasa mempunyai sentimen dan persepsi negatif terhadap orang Melayu Islam.”

“Boikot atau tak itu adalah hak pengguna. Pengguna mempunyai kuasa penuh di dalam membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh sesiapa,” kata Ismail dalam suatu kenyataan.

Menurut Ismail, kenyataan sedemikian biasanya datang daripada Menteri atau Kementerian KPDNHEP bukannya dari Kementerian Kewangan.

Tetapi katanya, Guan Eng membuat kenyataan yang dilihat rasis dan jahat bukannya tentang hak mutlak pengguna untuk membuat pilihan.

Berkenaan boikot, Ismail mengatakan bahawa berdasarkan pemerhatiannya tidak ada kempen oleh UMNO dan PAS untuk boikot produk non bumi atau non muslim.

“Kalau ada kempen dari NGO untuk beli produk halal dari peniaga muslim, itu adalah diatas dasar kesedaran orang-orang Islam tentang kewajipan mereka untuk mendapatkan produk yang benar-benar halal dan suci tanpa was-was,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama Ismail mengatakan bahawa kesedaran Muslim berkenaan produk halal semakin meningkat.

Tambahan pula katanya, banyak produk non muslim yang menggunakan nama Islam dan Melayu demi mengaburi mata pengguna dalam mana produk-produk non bumi ini tidak menititik-beratkan soal kebersihan dan status halalnya.

Katanya, Kesedaran ini setelah pengusaha non bumi ini menganiaya dan mengkhianati pengguna dengan mengetepikan soal halal dan kesucian demi keuntungan semata-mata.

Selain isu kempen “Utamakan Beli Barangan Muslim”, Ismail menyelar kegagalan kerajaan PH dan menteri kewangan dalam menyediakan dasar bagi meningkatkan ekonomi negara sehingga menjejaskan perniagaan banyak pihak.

“Kenyataan Guan Eng dengan menuduh UMNO dan PAS tidak lebih dari cubaan mengalih perhatian rakyat untuk menutup kelemahan beliau sebagai Menteri Kewangan yang jelas gagal,” kata Ismail lagi.

Menurut Ismail, senario ketika ini membuka satu lembaran dan secara tidak langsung bakal mengangkat ekonomi orang muslim pada kedudukan yang baik dan bakal melahirkan lebih ramai pengusaha bumiputera yang mengutamakan “Soal Hukum Halal Haram” dalam setiap produk. – 3 September 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.