DONG Zong Johor akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

Ia adalah berhubung pembatalan pendaftaran persatuan itu oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 8 Ogos lalu.

Manakala Muhyiddin berkata, beliau akan mendengar sebab yang akan diberikan persatuan itu dan difahamkan membabitkan masalah pengurusan.

“Jadi saya sudah diberi laporan dan esok mereka akan hadir. Saya akan jemput ROS bersama-sama tentang apa boleh dilakukan, supaya apa yang boleh dibetulkan kita betulkan,” katanya.

Dong Zong Johor dibatalkan pendaftaran selepas tidak memberi penjelasan kepada ROS mengenai pindaan perlembagaan persatuan berkaitan pembabitan guru.

Ahad lalu, Dong Zong mengemukakan surat rayuan kepada KDN berhubung pembatalan pendaftaran Dong Zong Johor oleh ROS negeri itu.

Dong Zong, adalah pertubuhan pendesak Cina yang menjadi polemik dalam dunia politik negara apabila membantah habis-habisan pelaksanaan pembelajaran khat dalam tulisan jawi.

Pelaksanaan itu melibatkan kesemua sekolah vernakular untuk murid darjah empat dengan silibus buku teks sebanyak 3 muka surat.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan tetap meneruskan pelaksanaan berkenaan dengan kelonggaran agar tidak dimasukkan dalam di dalam peperiksaan.

Ia juga dilaksanakan secara pilihan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah diberi kuasa untuk menentukan, sama ada perlu dilaksanakan atau tidak, di sekolah masing-masing. – 3 September 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.