LIM Guan Eng bersikap seperti budak nakal yang tidak berpelajaran kerana menuduh NGO yang mengetuai kempen utamakan produk Muslim sebagai rasis, kata Zamil Ibrahim.

Timbalan Presiden Kelab Pendokong Penyatuan UMMAH Malaysia (KPPUM) itu berkata tuduhan pemimpin DAP itu amat melampau dan tidak mencerminkan sikap sebagai seorang menteri.

Jelasnya, kempen itu bukan bertujuan memulaukan produk bukan Islam sebaliknya mempromosikan produk Muslim tanpa meminggirkan barangan kaum dan agama lain.

“Saya mahu bertanya kepada Guan Eng, apa masalahnya kita ingin mempromosikan dan memperkasakan barangan orang Islam?

“Adakah itu salah? Guan Eng seorang yang berjawatan menteri tapi bersikap seperti budak-budak nakal yang tiada pelajaran,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord.

Awal hari ini, Guan Eng menyifatkan tindakan NGO melancarkan kempen mengutamakan produk Islam sebagai rasis dan ektremis agama.

Kenyataan Setiausaha Agung DAP itu dipercayai merujuk kepada kempen UMMAH yang bermula sejak April lalu bagi mengukuhkan perniagaan orang Islam.

Zamil dalam pada itu menggesa Guan Eng supaya menasihati peniaga dan pengusaha bukan Islam agar tidak menggunakan logo Islam untuk melariskan produk mereka.

Beliau juga mempersoalkan tindakan peniaga bukan Islam menggunakan nama Islam, tulisan jawi, lambang masjid pada barangan bukan Musli,

“Untuk pengetahuan Guan Eng, masyarakat Islam sendiri tidak pernah menggunakan logo tokong dan kuil untuk melariskan perniagaan mereka.

“Jadi mereka (peniaga bukan Islam) perlu guna lambang sendiri kerana mereka nafikan jawi dan tidak perlu menipu orang Islam demi melariskan produk mereka,” katanya. – NTHQiBord, 3 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.