TINDAKAN beberapa ahli politik termasuk Lim Guan Eng melabelkan kempen mengutamakan produk Muslim oleh pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), sebagai perkauman adalah amat mengecewakan, kata Aminuddin Yahaya.

Pengerusi Angkatan Perpaduan Ummah (UMMAH) itu berkata kempen yang diusahakannya itu tidak ada kaitan dengan parti pemerintah atau pembangkang.

Terdahulu, Guan Eng yang merupakan Setiausaha Agung DAP melabel NGO yang mengetuai kempen itu sebagai rasis dan ekstremis agama.

Sehubungan itu, Aminuddin bertegas bahawa kempen utamakan produk Muslim bertujuan mempromosikan perniagaan orang Islam yang tiada upaya untuk membuat pemasaran dan tidak mendapat tempat di pasar raya besar.

“Ummah kecewa dengan kenyataan beberapa ahli politik yang mengaitkan (kempen) dengan isu perkauman, agama, dan parti politik.

“Kami ingin tegaskan kempen ini bukan untuk memboikot produk pengusaha lain, dan tiada kena-mengena dengan parti politik pemerintah ataupun pembangkang,” katanya.

Aminuddin berkata, kempen itu bermula April lalu tetapi mendapat momentum susulan salah faham di media sosial dan kenyataan oleh ahli politik.

UMMAH akan mengadakan siri jelajah bermula bulan ini dan kempen itu akan dilancar secara rasmi pada 1 Oktober ini.

Selain itu, Aminuddin berkata banyak produk yang diragui status halal menyebabkan NGO-nya bertindak melancarkan kempen UMMAH bertumpu kepada mempromosikan produk makanan keluaran Muslim.

“Ini membuatkan orang Islam rasa tak selesa kerana makanan yang digunakan boleh menjejaskan ibadah mereka.

“Jadi kempen ini untuk bantu mereka mendapatkan produk yang sah…(dan) agar mereka (usahawan Islam) dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah (dengan pengusaha lain),” katanya. – 3 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.