MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kedatangan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik ke program keagamaan di Melaka tidak menjadi masalah.

Muhyidin berkata, kedatangan Zakir ke negeri itu bukanlah untuk menyampaikan ceramah dan kerajaan juga tidak mengawal serta melarang sepenuhnya pergerakan pendakwah itu menyertai mana-mana program.

“Saya dimaklumkan kehadiran Zakir Naik ke Melaka untuk menyertai solat.

“Dia tidak berucap di hadapan jemaah.

“Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah beritahu, atas dasar berkenaan beliau membenarkan Zakir Naik mengambil bahagian dalam program itu,” katanya.

Jelas Muhyidin, tiada sesiapa akan sekat atau menghalang Zakir daripada mahu bersolat atau menghadiri majlis keagamaan.

“Kalau nak solat, nak hadiri majlis, saya fikir sesiapa pun tak boleh sekat dan halang.

“Itu maklumat yang saya dapat, sebab itu beliau dibenarkan untuk hadir,” katanya.

Semalam, Polis Melaka menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai halangan terhadap program Malam Islam Bersatu yang bakal diadakan di Masjid Cina Melaka di Krubong pada 7 September ini yang turut dihadiri Zakir.

Ketuanya, Raja Shahrom berkata, program tersebut hanya melibatkan solat sunat dan tidak melibatkan penyampaian ceramah oleh pendakwah dari India itu.

“Setakat ini kita tiada halangan, sebab program itu tidak melibatkan sebarang ceramah.

“Kalau ceramah memang tidak dibenarkan.

“Kalau sekadar untuk program solat sunat (hajat) kita tiada halangan,” katanya. – 3 September 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.