KENAPA selepas dua tahun Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak cuba membela nasib isterinya, kenapa tidak dari dulu.

Menurut Farhash, insiden pergaduhan di Ampang, Sabtu lalu kerana lelaki tersebut pernah cuba merogol dan mencabul isterinya dua tahun lepas.

Farhash yang juga Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan memberi kerjasama dengan pihak polis berhubung kejadian tersebut.

“Saya terpanggil untuk menjelaskan mengenai insiden yang berlaku pada 31 Ogos 2019 di Ampang.

“Laporan polis yang dibuat adalah ke atas nama adik saya, namun saya sedia untuk memberi kerjasama sekiranya perlu.

“Saya ingin maklumkan yang pengadu cuba merogol dan mencabul kehormatan isteri saya dua tahun lalu dan dia juga pernah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas cubaan ini,” katanya.

Polis hari ini, meminta Farhash, 37, tampil membantu siasatan berhubung satu kes pergaduhan di sebuah kompleks sukan di Ampang pada malam Merdeka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Farhash Wafa dipercayai merupakan seorang suspek yang terlibat dalam satu insiden mendatangkan kecederaan terhadap seorang individu lelaki tempatan.

Dalam kejadian berlaku pada 31 Ogos jam 9 malam itu, satu kejadian rusuhan bersenjata telah berlaku yang melibatkan seramai lebih 12 lelaki tempatan.

Kejadian dipercayai bermula apabila suspek terserempak dengan mangsa dan menolak mukanya sehingga berlakunya satu kekecohan.

“Pihak pengurusan kompleks bagaimanapun meminta suspek dan mangsa supaya beredar.

“Mangsa telah pergi ke tempat letak motosikal di luar kompleks sukan berkenaan dan didatangi 10 lelaki yang menyerangnya.

“Mangsa telah diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi.

“Tiga rakan mangsa cuba meleraikan insiden itu namun gagal.

“Mangsa telah mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang dan luka anggota badan,” ujarnya. – 4 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.