BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya campur tangan bagi menyelesaikan isu video semburit, yang mengegarkan negara baru-baru ini.

Video semburit itu mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali bersama seorang lagi yang didakwa pasangannya, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Timbalan Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad termasuk pihak berkuasa negara gagal menyelesaikan skandal tersebut.

“Kita memohon kepada Agong memainkan peranan untuk menegakkan keadilan,”

“Kami sebagai rakyat biasa sangat-sangat mengharapkan supaya apa yang berlaku atau kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Mohamed Azmin ini diambil tindakan,”

“Kita tidak mahu walaupun orang itu bergelar menteri sekali pun, beliau boleh terlepas daripada undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyerahkan laporan penyedia perkhidmatan analisis forensik, Verden Forensics di United Kingdom di Istana Negara hari ini.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Bangkit, Shahrin Azlan mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas membuat pendakwaan di mahkamah memandangkan pihak polis mengesahkan telah menghantar laporan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kita desak Peguam Negara buka kes ini di mahkamah. Kita dah desak Perdana Menteri pecat Mohamed Azmin tapi tidak buat juga.

“Kita minta Perdana Menteri ke jabatan agama Islam ambil tindakan, tidak buat juga,”

“Sekali lagi saya mohon Perdana Menteri mengeluarkan Mohamed Azmin dari barisan Kabinet,” katanya.

Terdahulu, video aktiviti semburit mirip mereka tular di laman lucah terkenal dunia, PornHub dan turut tular di negara jiran, Indonesia sejurus lawatan menteri itu ke negara pancasila. – 4 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.