PRESIDEN Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali menegaskan bahawa umat Islam tidak pernah memboikot produk bukan Islam.

Beliau dengan tegas lagi berkata, gerakan NGO Islam melancarkan kempen beli produk Muslim tidak ada kena mengena dengan soal hukum halal dan haram di sisi Islam.

“Pemimpin bukan Islam tidak perlu riuh rendah mengenai perkara ini.

“Orang Islam masih berdiam diri walaupun di Malaysia diberi lesen judi arak dan pusat hiburan untuk orang bukan Islam.

“Trilion duit berputar dalam industri haram bagi umat islam.

“Islam agama Persekutuan dan majoriti rakyat Malaysia adalah orang beragama Islam.

“Baiknya umat Islam dan pemerintah Malaysia membenarkan perniagaan yang haram di sisi Islam, tapi diizinkan kepada orang bukan Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, umat Islam mempunyai banyak pantang larang yang perlu dipatuhi dalam setiap pengambilan makanan dan perlu memastikan ianya halal untuk dimakan.

“Sebab itu perlu ada kempen beli produk Muslim.

“Apatah lagi ada pihak anti bahasa Melayu dan mengagungkan bahasa ibunda mereka, tapi untuk kepentingan perniagaan mereka sanggup lakukan apa sahaja,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu ada juga yang begitu lantang bersuara menentang tulisan jawi tapi menggunakan tulisan tersebut untuk melariskan produk jualan mereka.

“Pelbagai cabaran terpaksa umat Islam Malaysia hadapi ketika ini dengan pihak yang tidak pernah rasa puas dengan apa yang mereka peroleh sekarang.

“Malah ada produk bukan orang Islam yang guna logo seolah menara masjid seolah-olah produk halal bagi umat Islam.

“Wajar pihak tertentu itu menghormati sensitiviti ajaran Islam yang menyeru umatnya berusaha mencari sumber makanan halal dan memastikan ia datang dengan pakej toyyiban iaitu makanan yang baik, bersih dan berkualiti,” katanya. – 4 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.