KETUA Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan Piagam UMNO dan PAS yang bakal dimeterai pada 14 September depan adalah bertujuan untuk memupuk perpaduan.

Shamsul Anuar berkata, piagam tersebut dirangka keselarian perjuangan bersama bagi mengangkat martabat agama Islam dan Bumiputera tanpa unsur penindasan kaum lain.

“UMNO rangka sendiri, PAS juga rangka sendiri, kemudian bawa ke mesyuarat.

“Apa yang dirangka oleh kedua-duanya rupa-rupanya sama.

“Maknanya cita-cita, roh, semangat, iltizam kedua parti ini sama.

“UMNO dan PAS terbukti mempunyai rekod pemerintahan yang adil.

“PAS dalam pemerintahan kerajaan negeri juga masih memelihara kepentingan kaum lain. Begitu juga BN (Barisan Nasional) sepanjang 62 tahun memerintah sebelum ini.

“Jadi, yakinlah apa yang kita lakukan (penyatuan UMNO-PAS) ini tidak rasis.

“Kita nak jaga rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Manakala Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, semua rakyat di negara ini mempunyai peluang sama rata dalam menikmati manfaat perkembangan ekonomi.

Jelasnya, perkembangan ekonomi yang dibangunkan oleh pemimpin Melayu Islam selama ini dapat melahirkan ramai golongan kaya, majoriti daripada kaum lain tanpa ada unsur iri hati atau sebaliknya.

“Tapi hari ini Melayu Islam minta apa?

“Hanya nak minta negara ini perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan.

“Tak perlu bergaduh, kita fokus kepada prinsip demokrasi.

“Tiada apa yang perlu dikhuatiri dengan gabungan UMNO-PAS kerana kedua-dua parti ini terbukti demokrasi berdasarkan sejarah kepimpinan selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya mendakwa bahawa rakyat bukan Islam tidak perlu bimbang dengan gabungan UMNO dan PAS hanya kerana pihak tertentu mendakwa penyatuan tersebut atas dasar perkauman.

“Bila umat Islam bergabung bukan untuk memusnahkan bukan Islam.

“Kami bergabung untuk musnahkan mereka yang memusuhi agama ALLAH SWT.

“Bagi yang bukan Islam, hak anda diarahkan oleh ALLAH SWT untuk kami jaga,” ujarnya. – 4 September 2019.

1 COMMENT

  1. Semoga penyatuan ini mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah SWT. Semasa berlangsungnya pada hari tersebut dengan aman dan damai. Aminn

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.