KHABAR angin berlaku perubahan portfolio dalam Kabinet bertiup kencang sekali lagi.

Kali ini melibatkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut sumber yang memberitahu sebuah portal, nama kedudukan Muhyiddin dikatakan goyah apabila dikatakan bakal digantikan dengan Saifuddin.

Ditanyakan tentang perkara itu, Presiden BERSATU itu tidak mengulas lanjut namun berkata soalan itu sepatutnya diajukan kepada Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

“Awak patut tanya Perdana Menteri,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

April lalu, Mahathir dikatakan mempunyai masalah percanggahan pendapat dengan Muhyiddin susulan perubahan kepimpinan di Johor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengumuman Mahathir tentang pelantikan Mazlan Bujang dilantik sebagai Pengerusi BERSATU Johor yang baharu merupakan tamparan hebat kepada Muhyiddin.

Ia bertentangan dengan ‘cita rasa’ Muhyiddin yang mahu mengumumkan sendiri pengerusi BERSATU Johor pilihannya.

Namun, BERSATU menyangkal dakwaan percanggahan pendapat dalam kepimpinan mereka dan menegaskan hubungan Mahathir-Muhyiddin baik-baik sahaja. – 4 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.