NAIB Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Thiban Subramaniam menasihatkan Zuraida Kamaruddin menggunakan saluran rasmi parti bagi membincangkan hal ehwal dalaman parti.

Menurut Thiban, Naib Presiden PKR itu kerap membuat kenyataan terbuka yang boleh menimbulkan orang ramai mempunyai tanggapan salah terhadap parti.

“Zuraida memiliki ruang seluas-luasnya dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diadakan pada setiap bulan untuk mengutarakan apa juga pandangan mahupun kritikan.

“Oleh itu, saya bersetuju dengan saranan Anwar bahawa isu dibangkitkan Zuraida hanyalah ‘titik bengik’ yang perlu diselesaikan melalui saluran rasmi parti,” katanya.

Thiban selain itu berkata, kenyataan berterusan Zuraida mengenai tiga pucuk surat yang dihantarnya untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR (Anwar Ibrahim) yang tidak dilayan menyebabkan hal dalaman parti kini menjadi perhatian umum.

“Kenyataan dikeluarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga seolah-olah cuba menggambarkan beliau tidak memiliki ruang untuk mengutarakan pandangan kepada kepimpinan parti.

“Lebih berbahaya apabila nama Presiden PKR cuba diheret sama dan dituduh cuba menutup ruang perbincangan.

“Semua kepimpinan PKR perlu sentiasa menghormati dan patuh pada disiplin parti agar parti sentiasa fokus kepada pelaksanaan agenda reformasi,” katanya. – 4 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.