MALAYSIA antara negara di dunia yang paling ‘mewah bercuti’ disebabkan pelbagai perayaan dan acara yang disambut pada setiap tahun.

Dengan pelbagai kaum menghuni negara ini, cuti perayaan, cuti tarikh penting keagamaan dan cuti peristiwa antara yang dinikmati oleh setiap penduduk di Malaysia.

Tapi tahukah anda lima cuti umum yang wajib diberikan kepada pekerja.

Salah satunya adalan cuti sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 9 September ini.

Cuti itu termaktub dalam seksyen 60D(1)(a)(ii) Akta Kerja 1955 dan tidak boleh digantikan kepada tarikh lain.

Mungkin ada yang keliru khususnya majikan dan pekerja sektor swasta berkaitan cuti am sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas dan Hari Keputeraan Baginda pada 9 September ini.

Sebagai maklumat, Kerajaan Persekutuan telah mengisytiharkan 30 Julai sebagai hari kelepasan am tambahan sempena majlis pertabalan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, dan cuti itu diisytiharkan di bawah seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Berdasarkan peruntukan ini, majikan boleh menggantikan cuti umum kepada pekerjanya.

Majikan juga dikehendaki memberitahu pekerjanya sama ada majikan memilih tarikh 30 Julai 2019 sebagai cuti umum atau menggantikan ke tarikh lain dalam tahun yang sama.

Menurut kenyataan itu, sekiranya tiada penggantian dibuat, pekerja yang bekerja pada tarikh itu hendaklah dibayar kadar gaji cuti umum.

Selain Pertabalan Agong dan Hari Keputeraan Agong, majikan juga wajib memberi cuti kepada pekerja pada sambutan Hari Merdeka, Hari Pekerja dan Hari Malaysia. – 5 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.