KETUA Pemuda DAP, Howard Lee, mentarbiah masyarakat Islam terutamanya pemimpin daripada parti UMNO dan PAS untuk mengambil teladan daripada cara Rasullah SAW bermuamalat.

Menurut Howard Lee, ketika berada di Madinah Nabi Muhammad membenarkan orang Islam berjual beli dengan peniaga daripada kalangan Yahudi yang bukan Islam.

“Jika dicermati sirah Nabi Muhammad SAW, Madinah yang dipimpin oleh baginda sendiri membenarkan kaum Yahudi berniaga dan berjual beli dengan orang Islam.

“Penggerak serta pengikut kempen boikot ini harus mengambil iktibar dan pengajaran besar daripada akhlak dan teladan baik itu,” katanya.

Selain itu, Howard Lee turut berkata bahawa gerakan kempen itu dipercayai bermula di media sosial dengan beberapa akaun dibuka untuk menggalakkan orang Islam membeli barangan peniaga Muslim.

“Gerakan itu kian menarik perhatian apabila Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada Ogos lalu mencadangkan agar produk bukan Muslim dilarang menggunakan tulisan Jawi pada barangan mereka.

“Ia juga ada kaitan dengan polemik dan bantahan -kumpulan tertentu kepada pembelajaran tulisan Jawi di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

“Untuk rekod kempen ‘beli produk Muslim dulu’ bukanlah baru kerana ia dikesan sekurang-kurangnya sejak akhir tahun lalu namun ia tidak begitu meluas.

“Bagaimanapun, ada kalangan penyokong kempen mencadangkan agar kempen itu disertakan dengan memboikot produk bukan Muslim,” katanya.

Beliau yang juga Adun Pasir Pinji di Perak berkata, sebagai masyarakat majmuk yang kaya dengan kepelbagaian latar belakang rakyat Malaysia tidak boleh memboikot sesuatu produk secara melulu atau hanya berdasarkan perbezaan agama.

“Gerakan memboikot bertentangan dengan norma masyarakat berbilang kaum di negara ini dan ianya tidak membantu perkembangan ekonomi negara serta berpotensi untuk menggugat perpaduan.

“Beberapa hari yang lalu, kita melihat bagaimana Econsave menjadi mangsa apabila pasar raya tersebut dituduh tidak lagi menjual barangan keluaran bumiputera Muslim.

“Setelah laporan polis dibuat, pemfitnah tersebut tampil membuat permohonan maaf atas kesilapan fakta,” katanya.

Di samping itu, beliau turut memberi contoh bagaimana kempen boikot yang didorong oleh fakta yang dimanipulasi boleh menjejaskan pihak yang tidak berkenaan.

Justeru, Lee meminta pemimpin PAS dan Umno menyatakan pendirian berhubung kempen tersebut kerana setakat ini mereka mengelak menjawab persoalan berkenaan.

“Pasangan mempelai Umno dan PAS yang baru bernikah ini perlu menyatakan pendirian mereka, sama ada menyokong atau mengecam gerakan boikot tersebut.

“Mereka tidak wajar berdolak-dalih dalam isu boikot yang boleh memecah-belahkan masyarakat kita,” katanya.

Sementara itu, anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kempen itu pada asalnya menggalakkan orang ramai mengutamakan produk Muslim tetapi kini dianggap oleh pemimpin PH sebagai gerakan memboikot barangan orang bukan Islam.

Nik Abduh turut menambah bahawa ia menunjukkan sentimen orang ramai yang membantah DAP yang didakwanya ‘biadab’ kepada Islam.

“Saya yakin 100 peratus bahawa antara faktor utama terjadinya kempen ini adalah kerana sikap biadab DAP terhadap Islam dan umat Islam,” katanya.

“Saya sendiri menolak amalan memboikot barangan halal kerana ia hanya akan merumitkan kehidupan.

“Saya sokong kempen beli barangan Malaysia. Saya sokong kempen beli makanan dan barangan Muslim.

“Saya sokong kempen keluarga saya membeli di kedai sesama keluarga saya juga.

“Saya tak akan marah orang Cina kempen beli di kedai sesama mereka. Itu hak mereka, tak salah dan dah lama pun mereka buat,” ujarnya. – 5 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.