IKATAN Muslimin Malaysia (ISMA) mendakwa pendirian jemaah menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai bodoh sombong.

Menurut Presiden ikatan itu, Abdullah Zaik Abd. Rahman menyifatkan jemaah menteri tidak faham maksud sebenar yang berlaku dalam kalangan rakyat.

“Mereka seolah-olah tidak mahu mendalami bahawa kempen yang digerakkan ketika ini adalah ‘Kempen Beli Produk Muslim’ bagi membantu ekonomi umat Islam dan bukannya kempen memboikot produk lain.

“Kabinet Malaysia buat masa ini bukanlah kabinet yang berwibawa.

“Menteri-menteri PH yang mabuk dengan retorik sama rata barangkali tidak faham tekanan yang dihadapi oleh masyarakat majoriti Islam di bawah.

“Setelah kerajaan dilihat gagal memberi keadilan kepada mereka untuk mendapat hak maju bersama bangsa lain, lalu mereka bertindak sendiri untuk membela nasib mereka,” katanya.

Beliau berkata, jemaah menteri hari ini secara sengaja memekakkan telinga dan bersikap bodoh sombong untuk menyepikan isu Islam dan Melayu dalam arus pentadbiran negara.

Semalam, mesyuarat Jemaah Menteri menyifatkan usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini adalah sangat tidak wajar.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu.

“Ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara, sekali gus meminta rakyat untuk menyokong kempen beli barangan buatan Malaysia kerana memberi kebaikan kepada negara,” ujarnya. – 6 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.