GAGASAN Sejahtera dan Barisan Nasional (BN) perlu mendapatkan khidmat pihak tengah bagi memastikan piagam penyatuan ummah yang dimeterai pada 14 September depan, kukuh dan tidak tergugat, kata Datuk Aliff Tafid.

Ketua Bahagian Parti IKATAN Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, langkah itu perlu diambil bagi mengelakkan usaha penyatuan itu berjalan tanpa hala tujuan dan menjadi sia-sia.

Jelasnya, perkara yang tersirat dan tersurat dalam piagam tersebut sudah pastinya tidak diketahui, dan ia hanyalah satu permulaan dalam perjalanan yang masih jauh.

“Kita sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku kemudian hari mengenai penyatuan ummah ini.

“Apa yang penting benteng untuk mempertahan penyatuan ummah ini dari rebah mestilah dikepalai oleh orang tengah yang mampu mengukuhkannya

“Jika tidak samada ia akan berlayar tidak tentu hala, ataupun sekadar nama yang akan menjadi sejarah kemudian hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Aliff Tafid antara 10 wakil delegasi IKATAN ke Majlis Menandatangani Piagam Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka PWTC.

Deligasi itu adalah bagi melengkapi panyatuan ummah Melayu yang terdiri dari PAS, UMNO, IKATAN, dan BERJASA.

Dalam pada itu, Aliff Tafid berkata, blok Gagasan Sejahtera dan BN perlu menjadikan penyatuan ummah ini sebagai satu blok pembangkang yang terbaik dalam sejarah negara.

Selain itu, kerjasama ini juga semestinya menunjukkan kemampuan untuk kembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan mereka.

“Termeterai piagam tersebut akan berlaku pada minggu hadapan dan pastikan ia tidak menjadi sia-sia kemudian hari.

“Kewujudan penyatuan ummah ini bukan sahaja untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu dan menyatukan bangsa negara, malah ia perlu dan mampu merampas kembali kerajaan sedia ada,” katanya. – 6 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.