TINDAKAN NGO pro DAP (SEKAT) mengugut untuk menyaman Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan lagi dakwaan Menteri Belia dan Sukan bahawa mereka golongan ‘bodoh sombong’ itu adalah benar.

Timbalan Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia, Juzaili Azmi berkata, tindakan SEKAT itu menggambarkan dakwaan itu benar kerana tidak sepatutnya melibatkan anak-anak dalam polemik politik.

“Tindakan mengajak ibu bapa untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah jelas atas protes pembelajaran Jawi ini membuktikan betapa mereka tidak peduli tentang kesan dan akibat kepada masa depan para pelajar.

“Mereka tidak sepatutnya menjadi mangsa polemik politik pihak tidak bertanggungjawab yang menentang agenda nasional.

“Bodoh sombong adalah istilah kepada individu atau golongan yang kurang pandai tetapi enggan menerima pandangan atau pertolongan orang lain atau mereka yang berpandangan rendah pada orang lain.

“Tindakan kumpulan SEKAT berkempen supaya para ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah sekiranya pembelajaran Jawi diteruskan sebagai ‘bodoh sombong’ telah mengesahkan sendiri gelaran yang telah diberikan kepada mereka,” katanya.

Juzaili juga menyifatkan tindakan yang diambil oleh NGO pro DAP itu adalah tidak munasabah sedangkan pihak Kementerian Pendidikan telah pun mengurangkan jumlah muka surat pembelajaran Jawi itu kepada 3 muka surat.

“Ia hanya menjadi topik pilihan terserah kepada keputusan bersama pihak PIBG sekolah masing-masing.

“Mungkin kumpulan ini masih kurang faham atau masih berdegil, tindakan mengajak supaya anak-anak tidak ke sekolah adalah tidak masuk akal,” katanya.

Oleh yang demikian, beliau memberitahu bahawa istilah yang diguna pakai oleh Syed Saddiq adalah tepat kena kerajaan telah pun memberi penjelasan mengenai isu ini.

“Ianya bukanlah sesuatu yang baru diputuskan malah inisiatif Jawi ini bermula sejak tahun 2014 lagi, suatu tempoh yang lama untuk sebarang dialog atau perbincangan.

“Dengan mengugut untuk menyaman Syed Saddiq, mereka telah melengkapi maksud ‘bodoh sombong’ ini kerana jelas mereka memandang rendah pada pendapat pihak lain yang tidak seiring dengan mereka.

“Hakikatnya perjuangan mereka ini tidak berasas dan hanya memecah belahkan perpaduan yang telah kita bina sejak merdeka.

“Sekiranya mereka betul-betul profesional dan faham istilah ini, reaksi mereka pasti tidak akan sampai kepada mahu saman dan mengugut seperti ini.

“Reaksi mereka memperlihatkan mereka tidak tegar jika benar mereka mahu berjuang dan bukan sekadar mencari sensasi,” ujarnya. – 6 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.