PEMIMPIN DAP disaran untuk belajar semula Bahasa Melayu kerana melabel kempen beli Produk Bumiputera-Muslim Dahulu (BMBF) sebagai rasis.

Antara pemimpin DAP yang mengeluarkan hinaan sedemikian adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menganggap gerakan kempen BMBF sebagai tidak waras.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok juga menganggap ia sebagai tindakan tidak sepatutnya dilakukan manakala Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pula berkata, ia menjejaskan keharmonian.

Disebabkan itu, Pengerusi Persatuan Saudara Islam Kuala Lumpur dan Selangor, Osman Abu Bakar menyifatkan parti cauvinis itu tidak faham dengan promosi terhadap kempen itu meskipun ia tidak bermaksud produk bukan Muslim diboikot.

Katanya, orang Islam sebagai pengguna mempunyai hak membeli produk muslim malah ia sama sekali tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, orang Islam di Malaysia bukan hanya Melayu Islam tapi ada Cina Islam ada India Islam.

“Kami ada hak nak beli produk orang Islam. Ini hak kami tidak ada hak sesiapa yang boleh mempertikaikan.

“Apabila kami orang Islam menggunakan hak kami beli barang Islam tidak menyalahi undang-undang di Malaysia dan tidak menyalahi perlembagaan.

“Kalau tak faham bahasa Malaysia kami boleh tawarkan kursus percuma kepada semua pemimpin, anggota dan Ahli Parlimen DAP kursus Bahasa Melayu. Percuma tak payah bayar satu sen,” katanya.

Osman berkata, NGO Islam tetap hormat pada kaum lain dan sokongan kepada kempen BMBF sama sekali tidak menjurus kepada isu perkauman.

“Kami bergerak ke arah keamanan, perpaduan sesama kaum.

“Kami tiada niat pun nak boikot hak orang bukan Islam di negara ini,” katanya.

Justeru pemimpin DAP dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan kenyataan melabel Melayu Islam yang menyokong kempen ini sebagai rasis dan pelbagai lagi kata-kata mengguris perasaan.

“Cukuplah, tak payah nak usik perasaan hak prngguna Islam. Kami menggesa pimpinan parti DAP hentikan mengeluarkan kenyataan orang Islam di Malaysia dengan pelbagai label,” ujarnya. – 7 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.