SAYA bukanlah seorang yang layak memberikan nasihat kepada Tun. Tun bukan sahaja seorang Perdana Menteri, tetapi seorang negarawan yang dikagumi seluruh dunia.

Kemampuan Tun untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang pesat membangun tidak boleh dipertikaikan. Tun terkenal seorang yang kuat bekerja, sangat berdisiplin dan seorang yang sangat teliti. Pendek kata, sukar untuk negara mencari seorang negarawan yang hebat seperti Tun.

Namun, sebagai rakyat marhaen yang merasai kesusahan dan keperitan hidup, seorang Muslim yang prihatin terhadap agama Islam, mungkin ada perkara yang saya rasai tidak dapat dirasai oleh Tun. Atas dasar itu, saya gagahkan jari jemari untuk menulis sepatah dua kalam sebagai luahan hati kepada Tun.

Saya bukan seorang ahli politik tetapi sekadar bergerak di atas nama NGO kerana menyedari betapa perlunya ada insan yang meneliti keadaan bangsa dan agamanya di akar umbi masyarakat.

Saya tidak berhajat menceritakan keadaan yang berlaku hari ini, tetapi bagaimana orang-orang Melayu merasa sangat tertekan apabila bangsa dan agama mereka dihina oleh bangsa lain.

Saya yakin Tun pasti sedar dan faham realiti yang sedang berlaku ini. Tidak tahu apa lagi yang mampu saya ucapkan apabila hampir setiap hari ada saja kenyataan-kenyataan yang merendah-rendahkan orang Melayu dan agama Islam. Ratusan malah mungkin ribuan laporan polis telah dibuat tetapi semuanya dingin menyepi.

Tetapi kalau orang Melayu yang bercakap tentang bangsa lain, saya yakin hari esok mereka akan ditangkap dan didakwa.

Sedih sungguh Tun, apalah salah dan hinanya orang Melayu sehingga dilayan sedemikian rupa di bumi tumpah darah sendiri. Asal bercakap saja, kami terus dilabel sebagai rasis dan ektremis, walhal Tun pun tahu orang Melayu adalah satu bangsa yang sangat lemah lembut dan mudah bertolak ansur.

Orang Melayu rela berkongsi tanah, berkongsi tempat tinggal, berkongsi makan dan minum tetapi malangnya sikap sebegini telah diambil kesempatan oleh orang lain untuk memijak-mijak maruah orang Melayu, setelah mereka berjaya.

Tidak dapat dinafikan orang Melayu memang ada kelemahan, tetapi kami tidak pernah mengenepikan orang lain apatah lagi menindas mereka.

Walaupun kami bukan orang kenamaan dan tidak ada pangkat dan harta yang banyak, tetapi kami tidak sanggup mendengar bangsa kami dan agama kami dihina sebegini rupa, Tun.

Kami bukannya mahu mengambil hak orang lain, tetapi sekadar menuntut dan mempertahankan hak kami sebagai anak watan di bumi bertuah ini. Apakah itu salah, Tun?

Jasa Tun kepada negara tidak terkira, sumbangan Tun juga terlalu banyak untuk dihitung. Untuk sebuah negara mendapat seorang pemimpin seperti Tun mungkin sukar.

Namun apa yang berlaku hari ini membuatkan saya bimbang akan menukar pandangan orang Melayu terhadap Tun.

Saya bimbang, jika Tun tidak berbuat sesuatu, maka sejarah akan mencatat bahawa Tun adalah punca kejatuhan orang Melayu. Tun akan dihina oleh generasi anak cucu Melayu ribuan tahun ke hadapan.

Semua jasa Tun sebelum ini akan dilupai dan hilang seperti debu yang berterbangan. Lebih malang lagi, kalau ada yang akan menggelarkan Tun sebagai pengkhianat bangsa. Apakah Tun mahu ini berlaku disaat-saat hujung usia Tun? Saya yakin tidak.

Selaku pemimpin nombor satu negara, tidak ada sesiapa pun yang mampu mengubah keadaan dan nasib bangsa Melayu dan agama Islam sekarang, melainkan Tun sahaja.

Tun mampu menentukan arah dan hala tuju bangsa. Tun jugalah yang boleh menyatukan kembali orang-orang Melayu dengan kuasa dan kedudukan yang ada.

Oleh itu saya merayu, dengan penuh rendah hati, agar Tun merenung dengan sedalam-dalamnya mengenai untung nasib bangsa Tun sendiri.

Bertafakur dan bermuhasabahlah serta bermunajatlah kepada-Nya, agar diberi petunjuk dan kerendahan jiwa untuk memulakan penyatuan ummah agar bangsa dan agama Tun kembali dijulang.

Mudah-mudahan dengan ini, apabilatiba saat Tun menutup mata, Tun kembali kepada-Nya dalam keadaan tenang dan penuh kebahagiaan. InsyaAllah, Amin. – 7 September 2019.

AMINUDDIN YAHAYA,
Presiden Isma

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

2 COMMENTS

  1. Aminuddin Yahya ini bagi pemerhatian saya, Dia adalah sempit sangat Pemahamsn berkenaan dgn Islam, sehingga dia nampak sangat Rasis, n oleh krn itu Dia nampak PH yg salah bkn org lain walau pun bkn PH yg salah faham. Saya rasa sdr Amiruddin ini ada niatnya lain atau ada idang disebalik batu demi supaya PH tergugat fgn harapan PAS akan berrkuasa selepas pru 15 nanti.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.