EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail mahu skim pencen perkhidmatan awam tidak dimansuhkan bagi menjamin masa depan pekerja dalam sektor terlibat..

Beliau berpandangan buat masa sekarang skim pencen yang dilaksanakan kepada semua penjawat awam berstatus pekerja tetap dilihat sesuai dilaksanakan.

“Saya mempunyai satu pandangan berbeza dan kalau boleh saya memohon skim pencen perkhidmatan awam dikekalkan,” katanya.

Selain mengekalkan skim pencen, Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semua skim persaraan lain termasuk sektor swasta.

“Kita minta skim pencen, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan skim lain ditambah baik,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah berkata, mekanisme baharu yang menggantikan skim pencen perkhidmatan awam dijangka dilaksanakan tahun depan membabitkan lantikan baharu.

Alasan Borhan ialah cadangan tersebut dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan sehingga RM5 bilion setahun.

Cadangan Borhan itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Congress of Unions of Employees in the Public and Civil Services Malaysia – Cuepacs) kerana pihaknya tidak pernah dibawa berbincang.

Dalam perkembangan lain, Borhan akan bersara esok (9 September) selepas dilantik ke jawatan berkenaan pada 13 Julai 2018. – 8 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.