Luahan kecewa penyokong AMANAH

0

Ya, saya adalah penyokong parti Amanah, tetapi saya bukanlah pendokong walaupun anak saya Wan Anwar saya restui untuk beliau bergerak sepenuh masa sebagai ahli politik dalam parti Amanah dan menjadi pemimpin barisan pelapis dalam struktur organisasi.

Kesemua anak-anak saya sudah diberi secukup ilmu asas dunia dan akhirat untuk mereka memilih hala hidupnya sendiri.

Lalu saya tidak pernah bimbang dengan sikap dan pendirian mereka dalam isu bangsa, agamanya dan negaranya.

Mereka mempunyai matlamat yang jelas apa yang perlu dan yang tidak wajar dilakukan dalam meniti arus kehidupan di masa mendatang.

Nama Wan Anwar saya ambil berilhamkan nama Anwar Ibrahim setelah kemasukannya dalam UMNO pada tahun 1982.

Ketika itu Wan Anwar masih dalam kandungan. Nama ini dipilih kerana kekaguman saya terhadap Anwar Ibrahim ketika itu di atas semangat juangnya untuk Islam dan menjadi salah seorang pemuda terhebat dunia.

Sehingga hari ini Wan Anwar masih kekal dan teguh mengkagumi Anwar, dan mahukan Anwar menjadi PM selepas Tun M, tiada sebarang perubahan dalam hala tuju perjuangannya bersama Pakatan Harapan.

Dalam urusan ini saya tidak pernah masuk campur, kerana ia adalah urusan hidup dan pendiriannya, dan dia tidak tertakluk dengan sudut pandang dan kemahuan saya pada umur 36 tahun.

Dia sudah matang, dan mampu menilai sendiri antara kaca dan permata. Saya mahu dia alami sendiri jatuh bangun dan merasai sendiri rasa indah dan kesakitannya dalam meredah liku-liku perjuangan kerana ia adalah mahaguru terhebat buat dirinya untuk terus selusuri perjuangannya di hari muka.

Wan Anwar bukan sahaja tunduk dan taat kepada kedua ibu ayahnya, beliau juga patuh kepada kesemua pemimpin dalam organisasi dan jemaah yang dia ceburi.

Masa depannya saya serahkan padanya untuk mencorakkan sendiri tanpa pengaruh saya, nasibnya biarlah Allah yang menentukan kemudian hari di atas pilihannya sendiri…

Sejujurnya saya bukan jenis pembakar jambatan yang menjadi tempat laluan saya dalam urusan hidup.

Sokongan saya kepada mana-mana pemimpin dan organisasi politik semuanya BERSYARAT, selagi mereka tidak menyeleweng dan terus menjadi pembela kepada umat Islam dan menjadi pelindung agama Islam, dia akan saya tatang dan jaga, kalau tidak… LANGKAH DERHAKA DARI saya yang bakal mereka perolehi.

Mat Sabu terpesong

Hari ini saya cuma membuat pendirian tegas sebagai individu marhaen kepada pemimpin besar Amanah, terutamanya Mat Sabu sebagai Presiden Parti dan Dr Mujahid dalam tugasannya sebagai Menteri Agama yang bertanggungjawab menjadi pelindung agama Islam dan pembela umat Islam dalam negara juga ummah melangkaui sempadan geografi.

Mat Sabu sudah jauh melencong sebagai pelindung agama dan pembela ummah, begitu juga Mujahid dan beberapa pemimpin besar Amanah yang lain yang sudah banyak merapu dalam ulasan dan pendiriannya dalam banyak hal tentang Islam setelah mendapat jawatan besar dalam kerajaan.

Contohnya telah ada setiap hari berkeliaran melalui kenyataan-kenyataan dan tindakan mereka dalam isu semasa yang berkaitan dengan umat Islam, semua orang sudah sedia maklum.

Pada 17 Ogos 2019 lalu, Presiden Parti Amanah, Mat Sabu, telah mengeluarkan kenyataan yang amat mengguris hati umat Islam seperti yang disiarkan oleh Sinar Harian.

Kata Mat Sabu, “Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan sepenuhnya isu berkaitan status penduduk tetap (PR) pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN)”. Katanya lagi perkara itu hanya KDN yang boleh membuat keputusan.

Dia enggan mengulas dan dilihat cuba mengelak untuk memberi sebarang kenyataan selanjutnya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Pasir Salak di Green Village Eco Resort dan hanya mahu fokus kepada partinya yang kini sedang giat menambah keahlian.

Mujahid atau Mujahat?

Pada 25 September 2018, Mujahid ada memberi kenyataan bahawa kaedah perdebatan yang selalu digunakan Zakir dan adakala sehingga merendahkan agama lain tidak sesuai di Malaysia.

Jelasnya lagi: “Kita tidak perlukan kaedah perdebatan yang mencaci agama orang lain, tetapi kaedah penyampaian dakwah yang lebih intelek dan tenang tanpa merendahkan maruah agama lain” dan inilah juga yang dipegangnya hari ini.

Bila kita tanyakan dari sudut mana Dr Zakir mencaci, tiada jawapan yang munasabah diberinya.

Kenyataan Mujahid itu sangat berbeza dengan pendiriannya pada tahun 2016. Ketika itu, beliau turut membela program Zakir dan menggesa pihak yang tidak berpuas hati agar berbahas dengannya.

Soalnya, kenapa hari ini perubahannya sangat mendadak, kalau bukan didorong pihak tertentu yang memang tidak senang dan bersikap dendam dan benci dengan Zakir.

Kita semua sudah sedia maklum sesiapakah mereka yang mahu menghukum Dr Zakir.

Mujahid harus merasa malu dan melihat kembali kenyataan yang pernah beliau sebut itu. Jika beliau tidak setuju dengan kaedah debat yang dianjurkan, maka beliau boleh berbincang daripada aspek teknikal…. Sikap apologetik Mujahid sangat naif sehingga membuat tuduhan melulu.

Sangat berbeza sikap Mujahid untuk berdialog pula dengan aktivis LGBT Nisha Ayub dan Timbalan ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy yang sebelum ini dituduh menyokong pertubuhan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Namun apabila timbul isu Dr Zakir Naik, beliau menyerang secara melulu tanpa berunding dengan tokoh itu.

Manakala Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran menggesa tindakan diambil terhadap penceramah dari India, Dr Zakir Naik.

AMANAH yang malang

Kalau beginilah sikap Mat Sabu dan Mujahid sebagai pemimpin gerakan Islam, yang katanya sebuah parti Islam Progresif bagi menggantikan PAS dan UMNO, amat malang.

Pada hemat saya dan dipersetujui oleh rakan-rakan lain, bahawa kalau dalam keadaan kritikal kedua individu ini tidak boleh diharapkan lagi untuk menjadi pelindung Islam dan pembela kepada umatnya, adalah baik ianya dikeluarkan dari saf kepimpinan negara sebelum ianya menjadi naga-naga yang bakal membakar negara dan umat Islam.

Dalam isu Dr Zakir berada di pentas PAS memberi ceramah agama di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, baru-baru ini yang menggegarkan para penggila politik kerajaan, atas undangan PAS Kelantan, telah mengundang banyak kemarahan dari para pengikut Amanah, termasuk para pemimpinnya sendiri, konon Dr Zakir telah campur tangan dalam hal ehwal negara.

Saya tidak dengar kemarahan dari PKR dan PPBM. Para pendokong Amanah bukan sahaja marah, malah memaki hamun dengan berbagai kata nesta terhadap Dr Zakir sehingga akhirnya Dr Zakir ditegur oleh Tun M dan disiasat Polis.

Ya, saya akui sedikit sebanyak kesannya telah menaikkan mileage politik PAS dan UMNO dan merugikan pihak parti kerajaan, Parti Amanah terutamanya, dengan penganjuran ceramah ini.

Namun kita semua harus sedar dan faham sebagai pengganut yang cintakan Islam, keberadaan Dr Zakir di pentas PAS, walaupun sekelumit nampaknya boleh merugikan pengaruh parti Amanah di Kelantan, hakikatnya ia telah menguntungkan umat Islam, dan imej Islam telah terbela dari gangguan selanjutnya oleh golongan kafir Ramasamy, Ramkarpal Singh, Kula Segaran, Charles Santiago dan sekutunya.

Dalam hal ini saya ingin bertanya kepada para pemimpin Amanah, apakah matlamat perjuangan kalian melalui Parti Amanah yang digegakgempitakan sebagai gerakan Islam?

Bukankah wadah gerakan Islam yang kalian pelopori itu tercetus untuk kepentingan Islam dan umatnya?

Apakah semua kepentingan Islam mesti direalisasikan melalui wadah kalian?

Apakah salah jika orang lain yang menjuarainya dalam isu yang berkaitan umat Islam…?

Jujurkah kalian dalam berpolitik?

PAS-UMNO yang untung

Atas kepentingan Islam yang mengatasi secebis keuntungan parti inilah maka saya bersama PAS dan UMNO dalam isu Dr Zakir, biar pun jika ianya dilihat PAS dan UMNO telah berjaya menangguk di air keruh.

Dr Zakir sendiri pun bukanlah tahu akan tujuan sebenar penganjuran itu.

Suka atau tidak keberadaan Dr Zakir di pentas PAS bukanlah isu besar yang perlu kita gemparkan kerana hakikatnya ia telah berjaya membersih arang yang terconteng di muka amat Islam oleh segolongan kafir dalam negara yang tidak tahu dek untung sendiri sebelum dapat menetap dan bernaung dengan aman di bumi Melayu ini.

Sejatinya, pendekatan yang dikatakan politik baru oleh kerajaan PH hari ini sudah lama dilaksanakan oleh UMNO sejak merdeka bermula dengan Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman, disusuli PM ke 2 Tun Abdul Razak dan disambung oleh PM ke 3 Tun Hussein Onn. Selepas itu menjadi agak muram sedikit dengan pendekatan tegas di zaman Tun M sebagai PM ke 4.

Dalam tempoh 62 tahun pemerintahan Malaysia dikemudikan oleh bangsa Melayu UMNO BN penuh hemah, hikmah, berbaik sangka kepada semua bangsa dengan segala macam tolak ansur melayan semua permintaan demi permintaan oleh bangsa lain, yang boleh saya katakan sudah tiada sempadan lagi, sehinggalah kita terima wajah negara hari ini dengan berbagai masalah… BETAPA BAIKNYA BANGSA MELAYU…

Untuk itu, harapan saya janganlah lagi kerajaan baru PH cuba ulangi kesilapan yang sama yang telah dilakukan oleh UMNO.

Kita tak perlu bangkitkan lagi kisah silam yang sudah menjadi bubur, pada hemat saya menjadi terlalu sulit untuk membetulkannya lagi.

Janganlah kita mengandaikan konon orang Cina dan India lebih baik dan lebih amanah dari bangsa Melayu.

Seburuk manapun bangsa Melayu, kita masih ada agama dan nilai tauhid yang utuh dalam diri setiap kita selagi kalimah Toyyibah masih bersarang di dada.

Apa yang saya harapkan kita kembali berunding untuk kembali memerintah berteraskan bangsa Melayu.

Runtuhnya bangsa Melayu, robohlah tiang seri kerukunan dalam negara.

Dan hari ini Allah telah takdirkan sekali lagi untuk Tun M menjadi PM buat kali kedua untuk membetulkan keadaan.

Pasti ada hikmah di sebalik robohnya UMNO sebagai pemerintah dan tidak berjayanya PAS untuk mengemudikan negara walaupun sudah 68 tahun berjuang, dan lihatlah semua hikmah ini dalam sudut positif di mana kebahagiaan sedang menanti jika kita bersatu dan berpadu.

Hendaknya, jangan hanya difahami bahawa kalimat hikmat kebijaksanaan itu secara cara lembut, sopan santun, berbudi bahasa tanpa melukai hati mereka, malah hikmah kebijaksanaan juga memberi maksud berani, tegas, jelas pendiriannya, tanpa memaksa sesiapa apatah lagi untuk mengambil apa yang bukan menjadi hak kita dari mereka.

WAN IBRAHIM WAN AHMAD,
Penyokong AMANAH.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.