Rakyat berhak tukar pemerintah jika kerajaan tidak boleh diharap

SIRI Jelajah Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) sudah bermula dengan Pulau Pinang menjadi pentas pertama kebangkitan rakyat.

Dengan kehadiran lebih 5,000 orang, ia menjadi petunjuk jelas kepada kerajaan DAP-Pakatan Harapan (PH) bahawa betapa pentingnya mendengar suara rakyat.

Isu projek tambakan laut menjadi ‘amaran’ pertama terhadap kerajaan DAP-PH bahawa rakyat tidak akan teragak-agak menukar kerajaan jika projek itu diteruskan.

Pengerusi UMMAH Pulau Pinang Mohd Akhir Che Mat berkata Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan rakyat berhak menukar kerajaan jika kerajaan yang sedia ada tidak boleh diharap.

“Kuasa rakyat dengan menukar kerajaan adalah perlu jika mahu projek tersebut dibatalkan.

“Kita kena faham ini isu politik. Kalau kerajaan yang ada tak boleh dengar suara rakyat, perjuangan nelayan, kita tukarlah,” katanya.

Pihaknya akan membahaw isu itu sekali lagi untuk perhatian Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, sekiranya isu itu tidak mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri.

“Ummah Pulau Pinang tidak menolak pembangunan dan kita tidak menolak PTMP (Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang).

“Cuma kita minta PTMP dikaji semula. Semoga ada ruang perbincangan kita dengan exco terlibat Dr Afif Bahardin, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

“Insya-Allah kalau tidak mendapat layanan yang mesra, kita akan bawa sekali lagi ke Parlimen berjumpa dengan menteri, berjumpa dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan sesiapa jua.

“Kalau boleh kita akan bawa petisyen yang kita tanda tangan hari ini kepada perdana menteri sekali lagi bagi mendepani isu ini dengan lebih baik,” katanya.

Mohd Akhir berkata pihaknya bersedia untuk mengadakan perhimpunan menolak projek PSR secara lebih besar pada masa depan termasuk menganjurkannya di Parlimen jika projek itu tetap diteruskan.

“Perjuangan ini sejak 2014 diterajui oleh NGO seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM), Penang Forum dan Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang). Kita juga akan bersama dengan persatuan nelayan,” katanya.

Kempen UMMAH itu dijangka diteruskan ke Kedah pada 9 September, Selangor dan Kuala Lumpur pada 16 September dan ke Johor pada 28 September.

Satu lagi kempen lebih besar dijadualkan berlangsung pada 1 Oktober, tetapi lokasinya masih belum dikenalpasti.

Fasa kedua jelajah kempen berkenaan akan meliputi negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu, dan Pahang. – 9 September 2019.

1 COMMENT

  1. A peaceful demonstration is a thing approved in a democratic country like Malaysia. The plight of the poor fishermen in Penang is a thing the local and federal government should pay attention. Don’t sell the sovereignty of the country to a foreign country. In Penang, the government should revive projects for low and middle cost flats to cater for the needs of the lower income group. Such projects stopped in the island after the defeat of BN. A good government should stand for the majority of its people and not just for the corporate capitalists.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.