SATU pendedahan tentang ‘agenda tersembunyi’ pihak tertentu dalam Kementerian Kewangan akan diadakan esok.

Pendedahan itu akan dibuat oleh Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menerusi satu sidang media khas bersama ketuanya, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi.

Sidang media itu akan diadakan di Yayasan Warisan Batu, Kuala Lumpur pada pukul 11 pagi.

Menurut satu kenyataan, sidang media itu bertujuan mendedahkan usaha tangan ghaib Kementerian Kewangan menggadai kepentingan Bumiputera dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Kenyataan itu juga menjemput semua media, blogger dan pihak yang berminat untuk mengetahui pendedahan tersebut.

Mengikut rekod index.com bertarikh 12 Februari 2019, terdapat lebih 400 GLC milik Bumiputera di bawah kelolaan kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan.

Penasihat media Tun Mahathir Mohamad, A Kadir Jasin pernah menyuarakan kebimbangan tentang proses jual beli aset GLC secara paksa.

Beliau juga memberi amaran bahawa walaupun penjualan aset, penggabungan dan pengambilalihan adalah kegiatan biasa dunia korporat namun ia janganlah sampai merugikan GLC.

Isu penjualan aset GLC juga pernah dibangkitkan Khairy Jamaluddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Kewangan Kabinet Bayangan Barisan Nasional (BN).

Khairy pada hujung tahun lepas mempersoalkan kaedah penjualan aset dan tanah milik GLC secara tender terbuka oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk meningkatkan pendapatan negara.

Katanya, tindakan menjual aset dan tanah negara secara tender terbuka dikhuatiri akan menjejaskan pegangan dan kepentingan Bumiputera dan menyebabkan kerugian kepada kerajaan. – 10 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.