ORANG kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak ditahan selama tujuh jam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis bagi membantu siasatan satu kes pergaduhan.

Pengerusi PKR Perak itu menyerah diri pada pukul 10 pagi di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya selepas hampir seminggu menghilangkan diri.

Setiausaha Politik kepada Presiden PKR itu dibebaskan kira-kira pukul 5 petang selepas memberi kerjasama dalam siasatan kes tersebut.

Farhash menjadi suspek utama bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan dan mencederakan seorang jurulatih tinju berusia 29 tahun dengan topi keledar, pisau dan kerusi pada 31 Ogos lalu.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh sekumpulan 12 lelaki ketika berada di luar kompleks pusat sukan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek telah memberikan kerjasama kepada pihaknya untuk melengkapkan siasatan.

“Kita turut menjalankan ujian saringan awal air kencing dan mendapati suspek bebas daripada penggunaan sebarang jenis dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kes akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut. – 10 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.