TINDAKAN Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyifatkan Piagam UMNO-PAS dengan menyamakan dengan majlis pembentukan Pakatan Rakyat (PR) pada 2009 disifatkan tersasar jauh dan seolah-olah meraba dalam kegelapan.

Sekretariat Ta’awun UMNO-Pas, Tan Sri Annuar Musa berkata, piagam yang bakal ditandatangani dua parti Melayu terbesar pada Himpunan PAS-UMNO (HPU914) pada 14 September ini bukan majlis pembentukan satu gabungan parti alternatif baharu.

Menurut Annuar Musa, gabungan ini mempunyai perancangan sendiri yang akan diketahui apabila tiba masanya.

“UMNO dan Pas bukan parti berusia dua atau tiga tahun, serpihan kecil ‘desperado’ mencari gabungan untuk hidup menerusi formula rapuh yang menggadaikan prinsip, maruah dan harga diri sehingga sanggup bersekongkol menyanggah kepentingan agama, bangsa dan falsafah asas negara.

“UMNO dan Pas mengambil langkah yang asas tetapi penting dengan menyatukan ummah yang parah dan berpecah-belah,” katanya.

Jelas beliau, Islam dan pribumi adalah kelompok teras kepada kewujudan negara bangsa dan merupakan tiang seri politik negaran berkenaan.

“Sekiranya ia patah atau lemah, politik negara tidak mungkin berdiri tegak sebagaimana rapuhnya gagasan Pakatan Harapan (PH) dianggotai Mujahid sendiri,” katanya.

Annuar Musa berkata, perkara ini lebih aneh apabila Mujahid seperti tidak dapat menyembunyikan niat serongnya dengan mencuba membuat ‘prejudgement’ dengan nilaian negatif walaupun beliau sendiri ternyata tiada maklumat mengenai apa itu Piagam UMNO-Pas.

“Bukan soal survival UMNO atau Pas yang menjadi perhitungan kerana tiada makna jika sekadar ‘survive’ seperti Amanah dan Bersatu dalam PH sekarang.

“Pada 14 September ini, kita bukan untuk mengumumkan pakatan baharu dengan ‘Common Policy Framework’ (CPF) yang baharu.

“Insya-ALLAH kita ada ‘roadmap’ bakal dikembangkan secara organik meskipun tidak membawa jalan penyelesaian sepenuhnya secara sekelip mata,” katanya.

Tambah beliau dengan menegaskan penyatuan ummah bukan bersifat ‘one off’ atau ‘one event program’, namun bakal digerakkan sebagai satu gelombang rakyat terdiri pelbagai kaum, agama dan latar belakang.

“Sebab itu UMNO dan Pas mahu membina sesuatu yang kental dan tulen untuk Malaysia dan bukan membina harapan palsu.

“Kerangka membina semula harus kukuh dan bukan penyelesaian mi segera dicari.

“Jika tidak, kita akan mengulangi kegagalan PH seperti sedang disaksikan sekarang,” katanya. – 10 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.