KETUA Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memperincikan perbincangan yang dicapai antara Kementerian Kewangan dengan Japan Bank for International Cooperation (JBIC).

Shahir Adnan berkata, gesaan itu berhubung terbitan Bon Samurai yang dikatakan untuk membantu menyelesaikan hutang negara yang semakin meningkat.

Menurutnya, Guan Eng juga perlu menjelaskan keadaan sebenar hutang negara bukan lebih prihatin terhadap isu kempen yang dilancarkan baru-baru ini.

“Berdasarkan laporan Bank Negara, hutang negara pada akhir tahun 2017 adalah sebanyak RM687 bilion dengan peningkatan sebanyak 5.92 peratus berbanding akhir tahun 2016.

“Setelah Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan negara dan Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, hutang negara meningkat kepada RM 741 bilion pada akhir tahun 2018 dengan kadar peningkatan sebanyak 7.89 peratus.

“Setelah kerajaan membuat pinjaman Bon Samurai, hutang negara pada suku kedua tahun 2019 adalah RM799 bilion dengan peningkatan sebanyak 10.19 peratus.

“Ini merupakan peningkatan hutang tertinggi negara dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Dalam pada itu Shahir berkata, keadaan itu jelas menunjukkan bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan yang amat tenat.

Beliau melahirkan kebimbangan sekiranya perkara ini berlarutan tidak mustahil hutang negara akan meningkat melebihi RM800 bilion pada akhir tahun 2019.

“Keadaan ini juga bakal merealisasikan kenyataan Lim Guan Eng yang mengatakan hutang negara adalah RM1,000 bilion atau RM1 trilion,” ujarnya.

Shahir menyeru agar kerajaan memberikan fokus kepada aspek ekonomi negara dan kos sara hidup rakyat yang makin tinggi.

Tegas beliau, menteri-menteri terutamanya Guan Eng perlu berhenti menghabiskan masa untuk mempolitikkan isu-isu remeh sehingga boleh mencetuskan kegusaran antara kaum.

“Isu penyatuan ummah dan kempen produk Islam telah diberikan persepsi negatif perkauman, walhal faktanya ke arah penyatuan nasional masyarakat Malaysia.

“Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan pimpinan Pakatan Harapan yang leka dengan kerakusan politik mereka hari ini.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia sentiasa cakna akan hal-hal anak muda terutama berkaitan jati diri Bangsa Malaysia, kemerosotan ekonomi negara dan penindasan yang berlaku kepada rakyat Malaysia,” katanya. – 10 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.