KETUA Polis Perak, Datuk Razarudin Husain bersedia membantu pihak Bukit Aman mengesan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Farhash menghilangkan diri daripada membantu siasatan berhubung kejadian serangan di sebuah Kompleks Sukan di Ampang, 31 Ogos lalu.

Pada Ahad lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu sidang media berkata, usaha mengesan Farhash masih dijalankan walaupun mangsa dalam kes itu sudah menarik balik laporan polis yang dibuat.

Menurut Abdul Hamid, pihak polis masih mencari Farhash bagi merekodkan percakapannya sebelum kertas siasatan dihantar ke pihak timbalan pendakwa raya bagi mendapatkan keputusan sama ada kes tersebut tiada tindakan lanjut (NFA) atau sebaliknya.

“Kita memang akan beri bantuan.Ketua Polis Negara pun telah beri kenyataan berkenaan Farhash jadi sekiranya bantuan dipohon dari pihak kita dan sekarang ini (tindakan) di pihak Bukit Aman.

“Kita juga akan dapatkan risikan maklumat untuk bantu,” katanya

Farhash, 37, yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah suspek utama kes serangan ke atas seorang jurulatih tinju di Kompleks Sukan Arena, di Taman Dagang Permai di Kuala Lumpur.

Farhash menjelaskan insiden pergaduhan di Ampang itu kerana lelaki terbabit pernah cuba merogol dan mencabul isterinya dua tahun lepas.

Dalam kejadian berlaku pada 31 Ogos jam 9 malam itu, satu pergaduhan bersenjata berlaku yang melibatkan seramai lebih 12 lelaki tempatan.

Kejadian dipercayai bermula apabila suspek terserempak dengan mangsa dan menolak mukanya sehingga berlakunya satu kekecohan.

Pihak pengurusan kompleks bagaimanapun meminta suspek dan mangsa supaya beredar.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, mangsa telah pergi ke tempat letak motosikal di luar kompleks sukan berkenaan dan didatangi 10 lelaki yang menyerangnya.

Mangsa telah diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi.

Katanya, mangsa telah mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang dan luka anggota badan. – 10 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.