PENGARAH Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Datuk Dr Khalid Ibrahim memaklumkan bahawa bilik gerakan negeri dan daerah akan dibuka jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi bacaan 200.

Khalid berkata bahawa pihak kini memantau kejadian penyakit berkaitan jerebu termasuk infeksi saluran pernafasan bahagian atas (URTI), asma dan conjunctivitis di lima klinik sentinel Kementerian Kesihatan (KKM) secara bulanan.

Menurutnya, memandangkan keadaan jerebu dan IPU mencatat bacaan tidak sihat, JKNS akan memulakan pemantauan penyakit berkaitan jerebu secara harian.

Sehingga tengah hari tadi sebanyak 18 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat manakala tidak ada kawasan yang mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat.

Laman web Alam Sekitar (JAS) menunjukkan kawasan dengan IPU tertinggi setakat ini adalah Rompin (194) diikuti Sri Aman (190) dan Batu Muda (162).

Kuching dan Samarahan yang mencatatkan IPU sangat tidak sihat (di atas 200) semalam hari ini dilihat sedikit pulih apabila masing-masing mencatatkan IPU 142 dan 120.

Kawasan lain yang masih mencatatkan IPU tidak sihat adalah Johan Setia Klang (161); Cheras (155); Nilai (148); Petaling Jaya (144); Putrajaya (142); Shah Alam (134); Banting (123); Seremban (119); Klang(118); Tangkak (113); Bukit Rambai (104); Alor Gajah (103) dan Port Dickson (103).

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk memberi arahan penutupan sekolah jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kritikal dan mengundang bahaya kepada pelajar dan guru.

Katanya, JPN diberi kebenaran sepenuhnya dan sebarang keputusan penutupan sekolah di bawah kuasa pihak berkenaan yang lebih tahu mengenai cuaca serta tahap keselamatan sekolah.

Sebelum, kira-kira 275 sekolah membabitkan lapan daerah di Sarawak ditutup hari ini selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit diambil kira sehingga jam enam petang semalam.

Bagaimanapun peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah terlibat berjalan seperti biasa. – 10 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.