KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) perlu melaksanakan lantikan tetap untuk penjawat awam yang dilantikan secara kontrak, bukannya memansuhkan skim pencen, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, lantikan secara kontrak sebenarnya menyukarkan kakitangan kerajaan khususnya dalam membuat pinjaman perumahan, kereta dan sebagainya

“Bayangkan jika lantikan kontrak itu dibuat dalam tempoh dua atau tiga tahun, pihak kewangan atau bank mana yang sanggup untuk memberikan pinjaman.

“Keadaan itu pastinya membuatkan mereka (kakitangan kerajaan) terus berada dalam dilema,” katanya menurut sebuah portal.

Mengulas mengenai pemansuhan skim pencen, Azih berkata, kerajaan PH tidak boleh terburu-buru melaksanakan langkah itu.

Jelasnya, skim pencen itu merupakan keistimewaan kepada penjawat awam dan satu bentuk bentuk sumbangan kepada pesara yang telah lama berkhidmat di dalam kerajaan khususnya bagi membantu ekonomi mereka.

“Kita menaruh harapan yang tinggi supaya kerajaan tidak melihat pemberian pencen sebagai satu bentuk perniagaan kerana terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk dibayar kepada pesara.

“Sedangkan kos itu dapat ditampung melalui sumber-sumber lain dalam kerajaan dan jumlah RM30 bilion itu tidaklah terlampau tinggi jika dinilai dalam pelbagai aspek.

Azih berkata, kerajaan juga diminta untuk melibatkan CUEPACS dalam sebarang perbincangan melibatkan penjawat awam kerana mereka lebih tahu apa yang berlaku dalam kalangan kakitangan kerajaan itu.

Isu pemansuhan skim pencen itu berbangkit apabila Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah berkata, mulai tahun hadapan lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Menurutnya, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembaharuan Perkhidmatan Awam pada Oktober 2018 mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion

Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad juga dilihat bersetuju dengan langkah itu apabila menyatakan skim pencen merupakan beban besar buat kerajaan.

Namun katanya, kerajaan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan penjawat awam tidak tertindas susulan cadangan menghentikan skim pencen kakitangan awam. – 10 September 2019.

4 COMMENTS

  1. “SKIMKAN penggunaan wang rakyat /(wang kerajaan) dengan nilai produktiviti”.

    CUEPACS sewajarnya telah matang untuk BERDIKARI daripada hanya terus bergantung harap dengan kutipan cukai wang rakyat/wang kerajaan untuk menyara hidup penjawat awam yang telah bersara.

    Sudah tiba masanya CUEPACS mewujudkan KUTIPAN DANA TABUNGAN sendiri bagi memberi sumbangan kepada pesara-pesara yang menganggotainya.

    Ini bermakna KUTIPAN DANA TABUNGAN UNTUK PERSARAAN penjawat awam perlu diwujudkan dan perlu dikomitmenkan oleh seluruh KUMPULAN KESATUAN yang menganggotainya. Setiap Ahli anggota perlu mengeluarkan sumbangan bulanan yang mana jumlah himpunan keseluruhan dana tersebut bakal diagihkan kelak kepada PESARA-PESARA yang telah tiba masanya yang ianya dianggap sebagai SUMBANGAN persaraan.

    Langkah ini akan menjadikan CUEPACS lebih BERDIKARI dan matang berbanding dengan hanya mengharapkan sumbangan wang kerajaan yang bermakna WANG RAKYAT hasil dari kutipan cukai itu sahaja.

    “Mansuhkan SKIM PENCEN yang tiada nilai produktiviti dimata rakyat”.

    “Asuh diri agar lebih BERDIKARI supaya tidak lagi menggunakan WANG RAKYAT (hasil kutipan cukai) untuk kepentingan diri.”

    Gabungan kesatuan,
    Gabungan sumbangan,
    Kerajaan kurang bebanan,
    Rakyat tiada lagi tekanan.

    “Hapuskan SKIM PENCEN, SKIM yang tiada nilai produktiviti.”

    “Bergerak kehadapan, terus BERDIKARI dalam menjaga anggota gabungan itu sendiri.”

  2. Mansuhkan dahulu pencen wakil rakyat dan ahli parlimen sebelum memansuhkan pencen penjawat awam yang rata-rata adalah kumpulan sokongan yang berpendapatan rendah dan pencen meteka secara kolektifnya adalah kecil. Sedangkan gaji wakil rakyat dan ahli parlimen sangat besar dan sudah semestinya pencen mereka amat besar.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.