POLIS sedang menyiasat laporan seorang wartawan wanita berita tempatan yang mendakwa beliau diugut bunuh daripada individu tidak dikenali susulan laporan berita dikeluarkan minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt Arifai Taraw mengesahkan ada menerima laporan daripada wartawan berkenaan, Ahad lalu

Menurut beliau, wartawan berkenaan diugut menerusi kiriman emel dalam bahasa Inggeris baru-baru ini.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan (membuat ugutan jenayah),” katanya.

Dalam pada itu, perkara itu juga turut disahkan oleh Pengarang Kumpulan Berita Harian, Khaidir A Majid yang menyifatkan ancaman seperti itu menguatkan lagi azam warganya untuk terus membongkar kes penipuan yang mensasarkan masyarakat negara ini.

Jelas Khaidir, sekiranya ada pihak tidak puas hati terhadap mana-mana laporan akhbar itu, mereka sentiasa diberi ruang untuk menyuarakan pandangan mereka.

“Setiap laporan yang disiarkan BH adalah berdasarkan bukti yang diperoleh wartawan kami.

“Tindakan membuat ugutan adalah perbuatan pengecut dan tidak akan melentur semangat kami untuk mengejar kebenaran.

“Laporan polis sudah dibuat semalam dan kami berharap penghantar emel dapat dikesan agar tindakan sewajarnya diambil,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Chin Sung Chew menuntut supaya polis menjalankan siasatan secepat mungkin terhadap tindakan mengugut bunuh wartawan tersebut.

“NUJ amat prihatin mengenai insiden ini dan akan terus memantau keselamatan wartawan.

“NUJ menerima laporan daripada cawangan The New Straits Times Press (NSTP) mengenai anggota kami/pemberita yang mendapat ancaman bunuh melalui emelnya.

“NUJ mengutuk tindakan sebegini yang bersamaan dengan kes jenayah dan sesiapa yang bertanggung jawab membuat ugutan ini perlu disiasat dan dibawa ke muka pengadilan dengan segera oleh polis,” katanya. – 10 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.