PAKATAN Harapan (PH) diingatkan agar tidak ‘bermain kotor’ terhadap parti-parti pembangkang dalam negara ini jika mahu kekal berkuasa, kata seorang pemimpin PKR.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan PH juga perlu beretika dan menjaga demokrasi kepada lawan mereka terutama dalam menghadapi tentangan kerjasama UMNO-PAS.

Jelas Hassan, UMNO dan PAS tidak menyalahi mana-mana undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan untuk menjalinkan kerjasama politik bagi menentang PH dalam PRU15.

“Kerjasama Umno-PAS adalah cabaran terbesar kepada PH.

“Selagi Umno-PAS bergerak secara sah dan aman mengikut undang-undang negara dan undang-undang pilihan raya yang ada sekarang, maka PH yang mendukung kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan harus menghormati dan mengalu-alukan kerjasama Umno-PAS.

“Justeru itu, PH jangan main kotor, tidak beretika dan anti demokrasi. Jangan haramkan UMNO kerana hal-hal remeh-temeh dan teknikal.Takkan nak bunuh UMNO sekali lagi?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya Hassan meminta PH supaya sambut cabaran kerjasama politik UMNO-PAS dengan semangat demokrasi liberal yang telah diterima semua pihak.

“Juara yang hebat di gelanggang adalah mereka yang dapat menewaskan lawan yang kuat, bukannya itik tempang,” katanya.

Bagi mengekalkan kemenangan PH dalam PRU14, Hassan mencadangkan kepada kerajaan supaya terus jujur dan ikhlas untuk menjadi blok politik yang mempunyai dasar sederhana dalam politik arus perdana.

Jelasnya, tindakan itu mesti disertai dengan ciri ciri bersifat inklusif, yang menolak politik sempit kaum dan agama, serta mengutamakan isu sosio- ekonomi rakyat.

“Maka cakap-cakap dan tindakan-tindakan selama lebih setahun setengah PH memerintah seperti: manifesto pilihanraya sendiri dilanggari, kata-kata yang menyatakan manifesto pilihan raya bukan kitab suci, dan pelbagai pusingan-U dalam membuat keputusan utama dasar dasar negara hendaklah dihentikan, jangan diulangi.

“Minta maaflah kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, tua dan muda dari semua sektor dan lapisan yang telah berjaya menumbangkan BN yang rasuah dan menaikkan kerajaan PH yang menjanjikan perubahan dan harapan,” katanya. – 10 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.